Polis guna jentera Lotus kejar penjenayah
- Oleh KOSMO!
LONDON – Polis Devon dan Cornwall bakal menggunakan jentera Lotus Evora GT410 Sport sebagai kereta peronda untuk mengejar penjenayah di sekitar bandar tersebut, lapor akhbar The Sun semalam.
Kereta berharga £82,000 (RM471,577) itu akan menyertai Unit Jenayah Jalan Raya (RCU) yang dipinjamkan selama 12 bulan.
Memiliki kelajuan mencecah 300 kilometer sejam, kereta tersebut diharap dapat membantu polis mengejar penjenayah dengan pantas.
Kereta itu mampu memecut dari 0 hingga 96.6 kilometer sejam dalam masa hanya 3.9 saat selain mempunyai 410 kuasa kuda.
Menurut Twitter RCU, seorang pegawainya, Owen Messenger akan diberi pengiktirafan sebagai polis peronda yang memandu kereta mewah dilengkapi enjin V6 berkapasiti 3.5 liter itu.
“Sebuah lagi jentera RCU menyertai pasukan ini,” tulis RCU pada hantaran tersebut yang turut disertakan dengan emoji ‘senyum’.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi netizen dengan ada yang mempersoalkan penggunaan kereta mahal tersebut.
“Adakah itu datangnya daripada bajet polis?” tulis seorang netizen.
“Patutlah cukai yang perlu kita bayar sangat mahal!” tulis seorang lagi.
Dalam pada itu, RCU tidak mendedahkan bilangan kenderaan tersebut yang akan digunakan. – AGENSI