Naib Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tuduhan beliau bertemu beberapa pemimpin PAS sebagai pengkhianat, adalah perbuatan fitnah untuk memburuk-burukkannya.

“Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya menurut laporan MKini.

Sehubungan itu, beliau menafikan terdapat perjumpaan tertutup semalam, yang melibatkan pemimpin Barisan Nasional serta PAS di Kelab Golf dan Resort Tropicana di Petaling Jaya, sebagaimana diperkatakan.

Menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri menyifatkan segala tindakannya kini disalah tafsir, sehingga dia dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan dari PAS sementara pihak yang bertemu dengan pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.

“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya,” katanya lagi.

Terdahulu, media sosial dipenuhi dengan khabar angin bakal wujud ‘Langkah Tropicana’, susulan tersebar gambar beberapa pemimpin BN bertemu pemimpin PAS. Sepuluh pemimpin BN dan PAS dikatakan terlibat pertemuan itu.

Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang didakwa terlibat pertemuan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan bekas Timbalan Ketua UMNO bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz.

Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau tidak akan bersama PH walau apa yang terjadi sekalipun dan mengesahkan bahawa BN mengambil sikap berkecuali.

Bagaimanapun, Presiden UMNO dan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat keputusan bahawa Ahli Parlimen BN memihak kepada PH setelah dijanjikan dengan beberapa jawatan Kabinet.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan semalam dia hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri (PMO), tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa dia bersama Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein.

Malah menurutnya, pemimpin UMNO lain seperti Khairy Jamaluddin turut difitnah, bahawa dia membuat gerakan untuk melawan Zahid.

“Sekarang ni, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi Perdana Menteri, pemimpin UMNO memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan parti,” katanya.

Khabar angin itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem – antara mereka yang menyokong kerajaan PH-BN, dan mereka yang tidak bersetuju dengan gabungan itu.

Sebelum ini, wujud desakan majoriti pemimpin dan akar umbi UMNO supaya Zahid meletak jawatan susulan kekalahan teruk UMNO dalam PRU-15 lalu. UMNO dibawah pimpinan Zahid hanya menang 27 kerusi sahaja.

Laporan itu juga menyebut Ka Siong turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan sebagai ‘Langkah Tropicana’, sebaliknya berkata beliau berada di kelab itu untuk menjamu selera bersama dua rakannya.

“Ini mengarut. Saya sedang menjamu selera (brunch), dimsum bersama dua rakan di restoran, pada jam 10 pagi semalam,” katanya.

Apabila ditanya sama ada dia ada bertemu dengan pemimpin lain dalam senarai tersebut, Wee berkata dia ada terserempak dengan Ismail Sabri yang sedang bersarapan berseorangan.

Katanya, dia hanya menegur ringkas Ismail Sabri dan beredar kerana enggan mengganggu bekas perdana menteri itu.

“Saya tak nampak orang lain pun. Macam mana saya nak tahu kalau dia ada perjumpaan ke tak? Kamu boleh periksa dengan pengurusan Tropicana, periksa CCTV? Tolonglah, ini privasi. Macam mana mereka boleh buat macam tu?” katanya.

Sementara itu, Annuar dalam hantara di Facebooknya hari ini mengesahkan ada perjumpaan tertutup di coffee house Tropicana, sebelum beberapa pertemuan lain di Kedah dan Perak.

“Perjumpaan Tertutup Baru selesai perjumpaan tertutup di coffee house hotel Park Avenue Sungai Petani. Malam tadi perjumpaan tertutup di Food Court Padang Serai.

“Tengah hari semalam perjumpaan tertutup di restoran Pak Tam RnR Tapah. Ini susulan perjumpaan tertutup di coffee house Tropicana,” tulisnya. tanpa menjelaskan siapa yang terbabit dalam pertemuan itu.

Namun, Annuar juga memuat naik gambar pertemuan beliau dengan pemimpin BN bagi menghadapi pilihan raya Parlimen Padang Serai.