KOTA BHARU – Pergaduhan besar sesama sendiri dalam kumpulan penjenayah menjadi punca seorang pemilik bengkel yang dikenali sebagai Apih Kulim maut ditembak dalam kejadian di Kampung Hutan Kuin, Machang pada Ahad lalu.
Mangsa berusia 38 tahun itu dipercayai menjadi sasaran pembunuh disyaki ‘anak buah’ sendiri untuk ditembak sampai mati berdasarkan kesan tembakan sebanyak tujuh das pada kepala dan dadanya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian pembunuhan tersebut tercetus selepas berlaku pergaduhan dalam kumpulan yang dipercayai diketuai oleh mangsa sendiri.
Menurutnya, Apih Kulim disahkan maut akibat terkena tujuh das tembakan pada kepala dan dadanya dalam kejadian di kampung berkenaan.
“Tembakan pada kedua-dua anggota badan mangsa itu dikenal pasti semasa proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Machang dekat sini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini semalam.
Beliau memberitahu, hasil siasatan lanjut yang dijalankan juga, dua pucuk pistol milik mangsa yang dipercayai digunakan untuk pelbagai aktiviti haram turut ditemui di kawasan lain.
“Ekoran kejadian ini, polis telah menahan empat suspek berusia 25 hingga 36 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Penahanan kesemua suspek juga dapat merungkai beberapa kumpulan lain yang aktif menjalankan kegiatan haram terutama pengedaran dadah,” ujarnya.
Tambahnya, empat suspek yang ditahan itu mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah, bergaduh, ugut dan menyebabkan kecederaan parah.
Katanya, polis sudah memanggil seramai 25 saksi termasuk rakan mangsa, keluarga dan individu yang berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu. Polis juga sedang memburu individu yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang termasuk pengedaran dadah bersama mangsa,” ujarnya.
Keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Pada Ahad lalu, seorang pemilik bengkel maut terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh sekumpulan lelaki yang menaiki dua buah kereta di depan sebuah premis alat ganti kenderaan di Kampung Hutan Kuin, Machang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat duduk pemandu sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.
Saksi kejadian, Mohd. Zulkarnain Abdullah, 27, dilaporkan berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar tiga das tembakan secara berturut-turut ketika berada di dalam kedai runcitnya yang terletak berhampiran.
“Saya keluar dari kedai dan menjenguk ke dalam Mitsubishi Triton itu sebelum mendapati seorang lelaki berlumuran darah dan sudah tidak sedarkan diri,” katanya.
Seorang lagi saksi dilaporkan memberitahu, dia melihat dua lelaki memakai topeng dan jaket gelap seakan-akan anggota polis sebelum tembakan dilepaskan.
Sulong, 37, berkata, salah seorangnya berusia dalam lingkungan 30-an kemudian duduk di depan deretan kedai sebelum sebuah kereta jenis Honda berhenti di sebelah trak pikap tersebut.
Tidak lama kemudian, dua suspek bertopeng dan memakai jaket hitam seperti polis keluar dari pintu belakang kereta Honda itu.
“Sebaik keluar, mereka terus mengeluarkan sepucuk pistol dan meluru ke arah rakan mangsa yang sedang duduk di depan deretan premis itu untuk mengenal pasti orang yang mereka cari iaitu Apih Kulim,” katanya.
Menurut Sulong, suspek kemudian menuju ke arah trak pikap berkenaan lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah cermin kanan dan kiri dinaiki mangsa.
No comments:
Post a Comment