BOGOTA, Colombia – Lebih 70 pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar Villalaydee, dekat bandar Santa Marta mempertaruhkan nyawa mereka pada setiap hari dengan menyeberangi jambatan sementara untuk ke sekolah.
Laman berita Thaiger melaporkan, jambatan itu dibina menggunakan batang paip dan tali merentasi Sungai Kaira yang dipenuhi buaya.
Salah seorang penduduk, Dorisa Fadul berkali-kali membuat rayuan kepada pihak berkuasa supaya membina jambatan yang selamat untuk pelajar, namun permintaannya tidak diendahkan.
“Kami mempunyai jambatan kayu yang kami bina sendiri, tetapi ia mula rosak pada Januari tahun ini dan runtuh sepenuhnya pada 1 Julai lalu,” kata Fadul.
Selain berdepan risiko dihanyutkan arus deras sungai pada bila-bila masa, pelajar-pelajar itu juga berisiko dibaham buaya yang menghuni ekosistem sungai itu.
“Apabila paras air rendah, orang ramai boleh melintasi kawasan ini menggunakan rakit, yang juga sangat berbahaya.
“Tetapi apabila air naik, orang ramai tidak boleh membahayakan nyawa mereka dan kanak-kanak tidak mempunyai pilihan lain selain menyeberangi jambatan paip untuk ke sekolah,” katanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment