BUKIT KAYU HITAM: Laluan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, sesak luar biasa hari ini apabila orang ramai mengambil kesempatan bercuti di negara jiran.
Kesesakan luar biasa dilaporkan bermula seawal jam 6 pagi dan hasil tinjauan mendapati kenderaan terpaksa beratur panjang sejauh kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke ICQS bagi urusan pasport dan pas sempadan.
Difahamkan, destinasi seperti Hatyai, Pattani serta Songkhla menjadi pilihan dan tarikan utama pelancong tempatan, dengan jumlah kenderaan memasuki Thailand meningkat ketara sejak semalam.
Ketua Unit Penguat Kuasa ICQS Bukit Kayu Hitam, Naziah Mohd Yusoff, berkata kesesakan sebenarnya bermula sejak Khamis lalu apabila ramai pelancong Malaysia mahu ke Thailand sepanjang cuti sekolah.
"Berdasarkan data yang diperoleh, seramai 10,697 pelancong tempatan keluar ke Thailand pada Jumaat lalu, manakala pada Sabtu seramai 14,820 keluar ke negara jiran itu seawal jam 6 pagi. Jumlah meningkat dan kita jangka bilangan pelancong akan terus bertambah hari ini.
"Setakat tengah hari tadi, seramai 5,931 orang melalui ICQS di sini untuk ke Thailand," katanya ketika ditemui di Pejabat Jabatan Imigresen ICQS, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain menasihatkan orang ramai memastikan pasport atau pas sempadan mereka mempunyai tempoh sah serta insuran yang sepatutnya, selain dalam keadaan baik, tidak koyak, basah atau mempunyai kesan conteng.
"Selain itu, periksa status senarai hitam perjalanan melalui https://sspi.imi.gov.my/sspi/. Rancang perjalanan dengan baik, patuhi peraturan di Thailand dan jaga adab sebagai rakyat Malaysia. Dilarang membawa barangan terlarang semasa dalam perjalanan bagi mengelak tindakan undang-undang," katanya.
Adam Abdullah Bakri, 53, dari Kuala Lumpur, berkata dia terpaksa menempuh kesesakan hampir empat jam dari Changlun ke Kompleks ICQS untuk melancong kali pertama ke Hatyai bersama ahli keluarga.
"Walaupun terpaksa menunggu agak lama, urusan pasport di kaunter Imigresen agak cepat," katanya yang berkonvoi dua kereta untuk ke negara jiran itu.
Muslinda Mustafa, 41, pula bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 3.30 pagi tadi bersama keluarga dan sampai di sempadan Malaysia-Thailand pada jam 10.30 pagi, turut menempuh kesesakan hampir empat jam disebabkan pergerakan kenderaan agak perlahan.
"Kali ini pengalaman ke Thailand agak 'pahit' sebab terpaksa menempuh kesesakan yang agak lama. Kami selesai cop pasport pun pada jam 2 petang," katanya.