JAKARTA – Beberapa kejadian aneh berlaku pada sebuah majlis perkahwinan sehingga menyebabkan pengantin perempuan pitam sebelum akad nikah berlangsung, lapor program berita Liputan6 hari ini.
Berdasarkan hantaran yang dikongsikan di laman Instagram, pengantin perempuan dikatakan pengsan dan muntah-muntah sebelum akad nikah berlangsung.
Turut mengejutkan keluarga pengantin adalah terdapat titisan cecair berwarna merah pekat keluar daripada dinding di bilik pengantin.
Dalam video insiden tersebut, keluarga pengantin didengari saling bertanya mengenai punca dan jenis cecair yang muncul.
Mereka akhirnya menganggap ia sebagai perkara biasa dan meneka cecair itu mungkin sisa air kotor.
Video itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi netizen dengan ada yang mengaitkannya dengan kejadian mistik.
“Saya pernah mengalami perkara begini menjelang hari pernikahan tetapi cecair yang keluar lebih banyak. Saya menggosok bawang putih pada bahagian yang keluar cecair itu dan memperbanyakkan ibadat dan mengaji (al-Quran). Selama dua hari berturut-turut ia berlaku,” kata seorang netizen.
Namun, ada juga yang menganggap ia hanya cecair air kotor yang tiada kaitan dengan unsur misteri.
“Itu air kotor dan mengalir keluar dari dalam dinding. Mungkin ada (paip) yang sudah rosak, jadi sisa air kotor keluar,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI
No comments:
Post a Comment