Sungai Petani: Seorang pekerja kilang gagal menyelamatkan diri selepas motosikal yang ditungganginya terbabas menyebabkan dia terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah motosikal lain di Kilometer 95 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Mangsa, Mohamad Mizam Ali, 25, yang menunggang Yamaha Y15ZF-R15 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan itu pada jam 7 pagi tadi berkaitan kemalangan yang membabitkan dua motosikal.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal seorang diri dan sebaik sampai di tempat kejadian, motosikalnya dipercayai terbabas sendiri dan jatuh di lorong kiri lebuh raya.
"Tidak lama kemudian datang sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggangi lelaki berusia 28 tahun yang juga peniaga itu ternampak mangsa jatuh di laluannya namun tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa dan jatuh di atas jalan raya.
"Akibat kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal yang melanggarnya mengalami kecederaan di tangan serta kaki dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
No comments:
Post a Comment