Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi jaminan bahawa laluan kenderaan di sekitar Jonker Walk, Melaka, akan terus ditutup pada hujung minggu agar tidak mengganggu operasi pasar malam di situ.


Menurutnya, pasar malam Jonker Walk adalah tarikan pelancong utama di negeri Melaka dan langkah membuka jalan bagi laluan kenderaan di sekitarnya akan mengganggu kehadiran pelancong dan pengunjung yang berjalan kaki.

NONE"Melaka ini tak ada apa-apa, ada pelancongan sahaja. Di mana-mana pun orang pergi, orang dah kenal Jonker Walk ini.

"Kalau kita buka Jonker Walk (kepada kenderaan), kereta dah boleh lalu, (jadi) pelancong dah tak datang nanti, jangan salahkan orang lainlah," kata Nazri pada sidang media petang tadi.

Beliau juga berkata, alasan kerajaan negeri untuk membuka semula jalan berkenaan juga bukan satu pertimbangan yang wajar.
Walhal, jalan tersebut ditutup pada setiap hujung minggu sejak 13 tahun lalu, katanya.
"Saya harap ketua menteri akan mengkaji perkara ini dan saya berjanji akan pastikan pada akhirnya, jalan itu akan ditutup pada hujung minggu.

"Kalau kita buka untuk kereta lalu lalang, ia dah tak jadi Jonker Walk, ia mungkin akan jadi Jonker Highway," katanya lagi.

Kemelut Jonker Walk bermula apabila ADUN Kesidang, Chin Choong Seong pada minggu lalu mendakwa Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron menutup pasar malam itu sebagai balasan kepada orang Cina yang mengundi Pakatan Rakyat di negeri itu.

Bagaimana pun, Idris kemudian berkata kenyataan beliau disalah tafsir kerana beliau hanya mengarahkan agar jalan yang menjadi tapak pasar malam itu dibuka semula kepada kenderaan.

Kenyataan itu bagaimanapun berbeza dengan satu pekeliling yang diterima jawatankuasa penjaja di situ yang melarang mereka daripada berniaga atau menjaja di kawasan tersebut.

Nazri pada hari Selasa lalu menjelaskan, penutupan pasar malam tersebut bukanlah satu pembalasan kepada masyarakat Cina namun tetap menggesa agar kerajaan Melaka mengkaji semula keputusan tersebut.


Untuk maklumat terkini / FB  KLIK SINI