- Keadaan kenderaan dinaiki mangsa dan lori tangki setelah terlibat kemalangan di KM415.1 LPT II, petang semalam.
HULU TERENGGANU - Hasrat seorang peronda Lebuhraya Pantai Timur (LPT) II bergelar raja sehari pada 3 Syawal ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan setelah Toyata Hilux dipandunya dirempuh lori tangki di Kilometer 415.1 LPT II, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, Razali Ishak, 44, dari Kampung Teluk Kemudi, Ajil, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di badan.
Difahamkan, sebelum kemalangan, Razali, yang mula bertugas sebagai peronda pertengahan tahun lalu bersama rakan setugasnya, Saifudin Mohamad, 35, berhenti di lorong kecemasan.
Waktu itu mereka dari arah menghala ke Kuala Terengganu menjalankan rondaan.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba kenderaan mereka dirempuh sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit dipandu seorang lelaki yang dipercayai hilang kawalan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pegawai Bomba Kanan II Zuraidi Mohd Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.16 petang sebelum lapan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa tersepit di tempat pemandu berjaya dikeluarkan kira-kira lima minit kemudian, manakala rakan mangsa dikeluarkan orang awam yang berada di tempat kejadian.
“Kemalangan bukan sahaja mengakibatkan lori tangki terbalik ke dalam longkang, tetapi pemandunya berusia 34 tahun turut tercampak di tepi jalan, manakala Toyata Hilux dinaiki mangsa pula berada berhampiran longkang iaitu kira-kira 20 meter dari lori,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, manakala pemandu lori dan rakan mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan.
No comments:
Post a Comment