Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala menjadi menteri Kabinet pertama yang menyatakan pendirian menentang tuduhan ke atas pensyarah Universiti Malaya, Azmi Sharom mengikut Akta Hasutan.
Idris dalam tulisan di Twitter berkata, tuduhan ke atas Azmi itu tidak sepatutnya berlaku.
"Azmi Sharom tidak sepatutnya dituduh kerana hasutan. Kebebasan akademik diperlukan dalam mencari pengetahuan,” tulisnya.
Menteri yang mengetuai Program Transformasi Ekonomi itu menegaskan bahawa Malaysia perlu terus berada di jalan kesederhanaan.
"Kritikan membina dan pertentangan pendapat perlu diberi ruang, selagi ia tidak memberi kerosakan serius ke atas struktur sosial masyarakat kita,” katanya dalam satu lagi tulisan.
Idris merupakan menteri dalam kerajaan yang tidak menganggotai mana-mana parti politik.
Beliau dilantik dalam Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2009 untuk memimpin Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan.
Azmi pada 2 September lalu didakwa mengikut Akta Hasutan atas pandangannya berhubung krisis perlembagaan Perak, 2009, yang menyebabkan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat tumbang wakil rakyatnya berpaling tadah.
Azmi menyertai senarai panjang ahli politik dan aktivis yang didakwa mengikut undang-undang itu.
No comments:
Post a Comment