Kuala Lumpur: Seorang suami sanggup menjadikan tubuhnya sebagai ‘perisai’ serta membiarkan badannya ditetak parang bertalu-talu bagi menyelamatkan isteri daripada diserang perompak ganas.
Dalam kejadian jam 10.30 malam semalam, lelaki terbabit mengalami kecederaan serius selepas berusaha mempertahankan nyawa isterinya sebaik mereka diserang di sebuah pangsapuri di Sentul di sini.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Choo, 33, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan isteri berusia 28 tahun baru pulang dari bekerja.
Menurutnya, mereka tidak menggunakan lif di pangsapuri itu sebaliknya mengambil keputusan menaiki tangga menuju ke unit kediaman mereka.
“Kami bagaimanapun terkejut apabila seorang lelaki bersenjatakan parang tiba-tiba muncul sebelum menyerang kami.
“Lelaki itu langsung tidak memberi sebarang amaran sebaliknya menetak kami bertubi-tubi,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
Dia yang panik dengan kejadian itu bagaimanapun berusaha mempertahankan diri dan melawan, namun tidak berdaya.
“Saya dapat lihat tangan isteri berlumuran darah akibat ditetak penjenayah. Bimbang nyawanya terancam, saya mengambil keputusan melindungi isteri dengan tubuh saya.
“Penjenayah itu yang seolah-olah hilang akal masih terus menetak belakang saya bertalu-talu. Walaupun sakit, namun saya tetap berusaha menyelamatkan isteri kerana bimbang dia dibunuh,” katanya.
Menurutnya, penjenayah kemudian merampas beg tangan milik isterinya sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan tidak jauh dari pangsapuri itu.
“Saya sempat melihat penjenayah itu melarikan diri dengan seorang lagi suspek yang membonceng motosikal berkenaan.
“Susulan itu saya segera meminta bantuan orang ramai sebelum kami dihantar ke HKL,” katanya.
Dia berkata, isterinya itu putus satu jari tangan kiri akibat ditetak.
“Dia kini masih dirawat di HKL dan keadaannya dilaporkan stabil. Saya masih terkejut dengan kejadian itu berikutan kami sudah menetap di pangsapuri itu sejak tujuh tahun lalu,” katanya yang sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul di sini. - Harian Metro
No comments:
Post a Comment