Kuala Lumpur: Tembelang seorang pelakon wanita
bergelar Datin menawarkan beg tangan berjenama yang didakwa tulen bagi
menjelaskan baki tertunggak kepada syarikat agensi pelancongan terbongkar
selepas pemeriksaan ke atas beg itu mendapati ia adalah tiruan.
Malah pelakon berusia 28 tahun itu turut didakwa
mengugut kakitangan agensi pelancongan berusia 30-an itu yang beroperasi di
Taman Maluri, di sini, untuk membakar pejabat mereka selepas dia gagal
mendapatkan semula beg tangan tiruan berjenama itu.
Kakitangan wanita terbabit yang bimbang dengan ugutan
pelakon itu dan berasa ditipu kemudian tampil bersama majikannya membuat
laporan di Balai Polis Kampung Pandan Rabu lalu untuk tindakan selanjutnya.
Sumber berkata, dia bersama keluarga pada mulanya
menggunakan pakej pelancongan itu untuk melancong ke luar negara awal November
lalu.
“Bagaimanapun sebelum melancong dia ada datang
berjumpa dengan kakitangan terbabit dan membawa dua beg tangan berjenama yang
didakwa tulen untuk dijual dengan harga RM6,000.
“Mangsa pada mulanya menolak dan tidak mahu membeli
beg tangan itu namun pelakon itu meminta dia menyimpan di pejabat syarikat
terlebih dahulu dan tidak mahu membawanya pulang,” katanya.
Sumber berkata, selepas pelakon itu pulang dari
bercuti, pihak agensi pelancongan kemudian meminta dia menjelaskan bayaran yang
masih belum dijelaskan.
“Bagaimanapun pelakon terbabit meminta kakitangan
berkenaan menolak baki hutang itu dengan mengambil sebuah beg tangan berjenama
yang didakwa tulen berharga RM6,000.
“Mangsa berasa ragu-ragu sebelum dia bersama
majikannya membuat pemeriksaan beg itu kepada pihak berkaitan dan mendapati ia
adalah beg tangan tiruan,” katanya.
Menurut sumber, mangsa kemudian memberitahu kepada
pelakon terbabit bahawa beg tangan diberikannya adalah tiruan menyebabkan dia
mendakwa kemungkinan ditipu ketika membeli beg itu di sebuah pusat beli- belah
terkemuka di Kuala Lumpur.
“Mangsa kemudian mengajak pelakon itu ke butik
barangan berjenama yang didakwa dibelinya di pusat beli-belah terbabit namun
dia enggan dan memberitahu ingin menguruskannya sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment