Nuffnang

Saturday, February 7, 2015

Kisah Sayu Dan Teladan Dari Kumpulan Zero

Kisah Sayu Dan Teladan Dari Kumpulan Zero


kumpulan Zero yang mencetus kejutan apabila dapat beraksi di pentas akhir Maharaja Lawak Mega 2014 bersama Sepahtu, Shiro, Nabil dan Bocey.
Kumpulan Zero merupakan peserta finalis Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) 2014 dari Sabah yang boleh dikatakan paling underdog.
Zero terdiri dari 3 orang adik-beradik iaitu:

1) Mohd. Syaiful Doli Sharif (Syaiful), 25 tahun
2) Mohd. Sharif Kadir Doli Sharif (Sharif / Kadir), 23 tahun
3) Sharid Kunal Doli Sharif (Atu), 21 tahun

Realiti kehidupan Zero sememangnya boleh menjadi pengajaran. mereka sememangnya berasal dari kampung dan dari golongan yang boleh dikatakan agak susah.
Ayah mereka merupakan seorang yang cacat penglihatannya dan telahpun meninggal dunia. Mereka juga akui kurang berpelajaran dan hanya pertaruhkan bakat yang sedia ada sahaja.
Dengan itu Kadir juga telah berhenti belajar di tingkatan saru kerana kesempitan wang dan terpaksa bekerja untuk mencari rezeki.

Jom baca kisah dari kumpulan Zero: -KOSMO
Pemergian ayah menjadi pembakar semangat kepada kami untuk mengubah kehidupan sedia ada. Hal ini kerana tanggungjawab untuk meneruskan kehidupan dipikul penuh oleh kami adik-beradik setelah kehilangan ayah.
Alhamdulillah, kami diterima menjadi finalis Raja Lawak musim keenam ketika itu, sekali gus berjaya memperoleh tempat kedua (selepas Shiro). Pentas tersebutlah yang banyak membuka ruang kepada kami untuk terus menapak dalam industri seni.
Pekerjaan kami sebelum bergelar pelawak ialah nelayan dan buruh kasar. Hanya pekerjaan itu sahaja yang menjadi kepakaran kami bertiga semenjak kecil.
Lagipun, memang lumrah kami sebagai suku kaum Bajau yang tinggal di pesisiran pantai dan bekerja sebagai nelayan. Kami berharap agar dapat menjadi pengusaha ikan dan mempunyai kedai sendiri di Kudat, Sabah suatu hari nanti.
Sejak kecil sehingga dewasa, kehidupan kami hanya berkisar di kampung sahaja. Memang kami budak kampung sudah terbiasa dengan aktiviti kampung dan pelajaran bukanlah menjadi keutamaan pada ketika itu.
Tambahan pula dengan kesempitan wang pada ketika itu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar setakat tingkatan satu sahaja bagi membantu menyara kehidupan keluarga.
Bermula dari situlah saya hanya bekerja sebagai seorang nelayan bagi mengumpul wang membantu ayah dan menampung kos kehidupan keluarga kami.
Bapa kami bertanggungjawab mengajar kami ilmu mempertahankan diri. Disebabkan hal tersebutlah kami mampu membuat aksi akrobatik untuk dijadikan nilai tambah dalam persembahan kami.
Kami tidak mempunyai sebarang pendidikan yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap dan selesa. Kami hanya mempertaruhkan bakat dan kemahiran kami untuk dijadikan modal kepada khalayak.
Alhamdulillah, sedikit pintu rezeki dibuka bagi kami kini untuk meneruskan kehidupan dan saya berharap pentas lawak ini mampu menjadi platform kami supaya lebih berjaya dalam bidang seni.
Kami akui, bukan mudah dan sukar sekali untuk mencari idea yang segar dan bernas setiap minggu di pentas MLM 2014. Setiap strategi perlu diatur rapi bagi memastikan lawak yang dihasilkan segar dan belum pernah dipertontonkan sebelum ini.
Adakalanya, kami pernah bergaduh sesama sendiri apabila berbincang mengenai pemilihan tema dan idea yang sesuai. Bagaimanapun, pergaduhan tersebut terlerai dengan sendirinya apabila masing-masing mencapai kata sepakat.
Insya-Allah, kami akan lebih rajin melakukan penyelidikan dan berbincang mengenai lawak-lawak yang sesuai dengan semua jenis masyarakat, sekali gus mampu diterima baik oleh peminat kami.
Sebelum ini, saya akui agak sukar untuk kami mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan, terutamanya disebabkan kesukaran kami untuk mengetahui apa yang dikehendaki oleh peminat. Tambah menyukarkan ialah loghat kami yang tidak semua orang faham terutama masyarakat di Semenanjung.
Bagi mendapat tempat dan menjadi perhatian, kami mencuba keistimewaan lain seperti menggunakan lawak yang lebih kepada pergerakan fizikal. Itulah yang menjadi keutamaan kepada kami untuk terus mencuri hati peminat.
Insya-Allah. Kami memang mahu menang dan tempat pertama menjadi sasaran utama kami. Kami berjanji akan memberi sepenuh perhatian dalam mencari idea pada malam yang diharapkan menjadi sejarah paling bermakna bagi kami.

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung