KUALA LUMPUR - Sehelai wang kertas yang bernilai RM100 dicetak dengan nombor siri istimewa terjual dengan harga bidaan tertinggi RM76,000 semalam sekali gus mencatatkan jualan lelongan tertinggi.
Wang kertas yang memiliki nombor siri AA8888888 antara 178 keping wang kertas yang mempunyai nombor siri yang unik dilelong dalam satu jualan lelong yang dikendalikan oleh MNP Auctioneers (Central) Sdn Bhd, jurulelong yang telah dilantik oleh Bank Negara Malaysia.
Bidaan lelongan itu adalah yang tertinggi sehingga kini selepas jualan lelongan pertama yang diadakan pada September tahun lalu memperlihatkan harga tertinggi dicatatkan bagi sekeping wang kertas mencecah RM20,000.
Dalam jualan lelong itu, semua wang kertas tempatan daripada RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100 dijual kepada umum dengan harga permulaan berdasarkan kepada kombinasi nombor siri yang tercatat pada wang kertas berkenaan.
Harga permulaan bagi RM1 bermula pada harga RM20 hingga RM200, RM5 (RM100 hingga RM1,000), RM10 (RM150 hingga RM1,050), RM20 (RM300 hingga RM1,100), RM50 (RM500 hingga RM1,500) dan RM100 (RM550 hingga RM1,000)
Pengarah Urusan MNP Auctioneers (Central) Sdn Bhd Stephen Soon berkata, wang kertas itu bukan saja menjadi rebutan puluhan pengumpul wang kertas tempatan, malah ia turut menarik perhatian pengumpul barangan unik dari Singapura.
“Bagi saya, bidaan ini mungkin yang tertinggi dalam sejarah negara. RM76,000 untuk sekeping wang kertas RM100 adalah yang tertinggi setakat ini kerana memiliki kombinasi tujuh angka unik.
“Pada jualan lelongan September tahun lalu, terdapat wang kertas yang mencecah nilai RM20,000 daripada pembida dan situasinya hampir sama iaitu memiliki kombinasi nombor siri unik,” katanya ketika ditemui di Auditorium, Sasana Kijang, BNM, di sini, semalam.
Katanya, maklum balas yang diterima adalah amat baik dan pengumpul wang kertas ini sememangnya menantikan jualan lelong seumpama ini untuk memiliki wang kertas edisi terhad.
“Ini adalah platform terbuka untuk masyarakat umum memiliki wang kertas bernombor siri unik kerana sebelum ini, ia tidak dipaparkan kepada umum.
“Kebiasaannya, harga permulaan akan meningkatkan 11 kali ganda hasil daripada bidaan pembida. Ini berdasarkan rekod terdahulu yang kami pernah adakan pada September tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, rata-rata pembida yang hadir dalam jualan lelongan ingin memiliki wang kertas edisi terhad ini kerana ia tiada di pasaran. - Harian Metro
1 comment:
nombor duit pun dijadikan hasil
Post a Comment