JENGKA - Malang buat dua lelaki yang dituduh mencuri lembu apabila bukan sahaja dibelasah, tetapi dipaksa makan najis haiwan ternakan itu selain kereta dinaiki mereka turut dibakar.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam di Felda Jengka 17 pada Selasa lalu, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu parah di kepala dan tangan serta kini menerima rawatan di Hospital Jengka.
Gambar dan video mereka dipaksa mengunyah najis lembu dimuat naik di laman sosial sehingga menjadi viral serta mendapat pelbagai reaksi orang ramai.
Ada yang menyokong dengan tindakan dilakukan ke atas mangsa kerana kesalahan mencuri, malah tidak kurang menyifatkan perbuatan menyumbat najis lembu dan dipaksa mengunyah sebagai keterlaluan.
Mengikut komen pengguna laman Facebook Suara Penduduk Jengka, kedua-dua lelaki tersebut yang disyaki mencuri lembu disedari pemilik haiwan berkenaan sebelum mengekori sehingga ke sebuah kandang ternakan lembu di dalam kawasan ladang sawit di tanah rancangan itu.
Sebaik tiba di pintu pagar kandang, kedua-duanya dicekup sebelum dibelasah sekumpulan penduduk dan dipaksa makan najis lembu serta membakar hangus kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mangsa.
Namun jumlah lembu yang dicuri dan cara haiwan itu dibawa oleh mangsa ke kandang berkenaan tidak dinyatakan.
Terdapat pula dakwaan mengatakan kandang ternakan dimiliki seorang peneroka itu terlibat dengan urusan jual beli lembu curi, malah meminta individu yang ada kehilangan lembu agar ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
Dakwaan tersebut mendapat reaksi positif apabila tinjauan pihak media mendapati beberapa penternak lembu dari kawasan sekitar pergi ke kandang dimaksudkan untuk berbuat demikian.
Usaha mendapatkan maklum balas daripada pemilik kandang tersebut gagal, malah individu yang mengaku haiwan ternakannya dicuri oleh dua lelaki itu juga tidak kelihatan.
Tambah meragukan apabila individu yang mengatakan haiwan ternakannya dicuri oleh dua lelaki terbabit tidak membuat sebarang laporan polis.
Sebaliknya laporan polis dibuat oleh pemilik kandang ternakan berkenaan bagi menafikan dakwaan terlibat dengan urusan jual beli lembu curi.
Salinan laporan polis itu kemudian dimuat naik di laman Facebook bagi melakukan penafian dengan menamakan seorang pengguna Facebook yang secara nyata melakukan dakwaan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Mat Rizal Mat Radzi mengesahkan laporan polis dibuat seorang pekerja kandang pada jam 10 malam di Balai Polis Bandar Jengka sehari selepas kejadian yang memaklumkan kejadian dua rakan sekerja dipukul oleh sekumpulan penduduk di hadapan pintu pagar kandang berkenaan.
Mat Rizal berkata, dua lelaki tersebut disyaki mencuri lembu milik seorang peneroka tanah rancangan itu.
Menurutnya, mangsa menerima rawatan di Hospital Jengka kerana mengalami kecederaan di kepala dan tangan akibat kekerasan menggunakan sesuatu objek.
“Mangsa dilaporkan stabil dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kejadian sebenar. Maklumat awal diperoleh dari pekerja dan mangsa manakala usaha mengesan saksi kejadian giat dilakukan.
“Sebuah kereta Persona yang merupakan kenderaan sewa di hadapan pintu pagar kandang dipercayai dibakar kumpulan terbabit,” katanya.
Mat Rizal berkata, pihaknya turut menyiasat sebarang kemungkinan berlaku salah faham dalam insiden itu atau dua lelaki terbabit sememangnya mencuri lembu seperti didakwa.
Justeru, saksi yang melihat kejadian tersebut diminta tampil menyalurkan maklumat bagi memberi keadilan kepada semua pihak.
Beliau turut menafikan khabar angin mengatakan salah seorang mangsa telah meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment