Nuffnang

Sunday, October 4, 2015

Hebat ..Saya Tidak Meminta Hantaran Semasa Menikah.


Masa kami mula-mula menikah dulu, dia hanya ada sebuah motor Nouvo LC yang masih ada hutang kedai, menyewa rumah flat dan tiada wang simpanan. Kami menikah dengan hanya modal RM4,000 dan semua kami urus sendiri. Hantaran senaskah al-Quran, sepasang telekung yang sama-sama kami beli di Jalan TAR (saya ingat lagi air mata dia menitis sebak masa saya cuba telekung tu), sebentuk cincin acah-acah berlian dan mas kahwin RM222 tunai. Tiada wang hantaran. Bernikah di masjid dengan jemputan 200 orang makan bersila. Semua happy. Mulut saya lenguh seharian senyum dan ketawa kerana terlalu gembira. Alhamdulillah. 

Lepas tu kami sama-sama kumpul duit. Kami kerja makan gaji 8am-5pm setiap hari. Waktu lunch hour, kami COD jual barang orang, naik motor tengah panas rembang sampai kadang-kadang tak sempat makan. Hujan panas kami redah. Orang perli dan ejek, kami tak pedulikan. Yang penting cari duit. Malam selepas anak-anak tidur kami berjaga sampai lewat malam menguruskan bisnes part time design kami. Tidur dan rehat tak pernah cukup. Alhamdulillah. 

Saya masih ingat gelang emas pertama yang dia belikan untuk saya masa dia dapat bonus. Lepas lunch dia parking motor depan kedai emas di Ampang. Dia minta saya pilih satu gelang. Saya pilih yang paling nipis sebab takut mahal. Duit bonus tu banyak lagi nak guna untuk benda lain. Gelang itulah yang saya pakai hari-hari dan yang paling saya sayang. Alhamdulillah. 

Lelaki ini banyak mengubah saya, luar dan dalam. Saya tak minta wang hantaran masa menikah kerana bagi saya dialah hantaran terhebat dari Allah untuk saya. Ini bukti Allah masih sayangkan saya sebab bagi peluang kedua untuk merasa manisnya bahagia. Alhamdulillah. 

Terima kasih Allah kerana mengirim lelaki ini untuk saya. Tak tahu apa yang saya buat sampai dianugerahi lelaki sebaik ini. Panjangkan umurnya, sihatkan tubuh badannya, ampuni dosanya dan terangi hatinya untuk sentiasa beribadah padaMu ya Allah. Terima kasih Allah untuk rezeki yang kau beri kepada kami hari ini. Alhamdulillah.

Selamat hari jadi sayang, terima kasih untuk kasih sayang dan pengorbanan. Harta di dunia hanya sementara, mari kita kumpul harta untuk di alam seterusnya. Semoga kasih sayang kita sampai ke Jannah. InsyaAllah. - Eleana Kamal

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung