SHANDONG - CHINA . Tindakan orang ramai yang berada di lokasi kejadian kemalangan sebuah lori yang mengakibatkan ribuan biji telur bertaburan di atas jalan raya mendapat pujian netizen.

Sebuah lori yang membawa muatan telur terbabas di persimpangan di Tai'an, wilayah Shandong menyebabkan ribuan biji telur ayam yang dibawanya turut bertaburan di atas jalan raya pada Ahad.

Namun apa yang mengejutkan, orang ramai yang berada di kawasan kemalangan turut sama-sama membantu mengutip telur yang jatuh tanpa mengambil kesempatan ke atas insiden tetsebut.

Bukan sahaja orang ramai membantu pemandu lori tersebut mengutip dan mengasingkan telur yang tidak pecah, malah beberapa pemilik kedai makan di kawasan sekitar juga membantu dengan membeli telur ayam yang retak sekali gus dapat meringgankan kerugian lebih 10,000 yuan yang terpaksa ditanggung pemandu berkenaan.

Beberapa foto yang bertebaran di media sosial meraih perhatian netizen di China.

Netizen memuji tindakan orang ramai yang tidak mencuri telur-telur berkenaan sebaliknya membantu pemandu lori itu.

"Dengan mengutip telur mereka juga menunjukkan akhlak mereka. Ini adalah sesuatu yang sepatutnya semua orang lakukan,” komen netizen dipetik CCTV News.