PORT DICKSON – Pihak berkuasa hari ini menafikan gambar buaya yang tersebar di laman sosial dirakam di perairan Port Dickson.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd Izwan Md.Said berkata, gambar tersebut dipercayai gambar dari luar negara dan telah disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab dan disebarkan di media sosial.

Menurutnya, walau bagaimanapun, pada 2 November lalu di antara jam 10 pagi ke 12 tengah hari, bomba telah menerima panggilan kecemasan ada pelancong yang melihat objek menyerupai seekor buaya di perairan di Port Dickson.
“Bomba melakukan operasi mencari namun tidak mengesan sebarang kehadiran haiwan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Mohd Izwan menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti rekreasi di air.
Sejak malam tadi, viral di laman sosial mengatakan ada orang awam melihat seekor buaya timbul di perairan Batu 5 Port Dickson.

Menurut cerita yang diviralkan itu, panjang buaya berkenaan adalah 10 kaki (3meter) dan Polis Marin sedang melakukan pemantauan di kawasan yang dimaksudkan.
Perkara ini diviralkan berserta dengan gambar seekor buaya di dalam laut.
Turut menjadi viral adalah penafian mengenai gambar itu yang dikatakan dirakam di perairan Australia pada tahun 2014

Klik Sini Untuk Like dan dapatkan Berita  terkini
.