SUNGAI PANJANG - "Walaupun itu bukan anak saya, tapi perasaan saya hiba setiap kali saya kutip cebisan daging yang berselerakan atas jalan raya," luah seorang penduduk yang mengambil masa kira-kira lima minit mengumpulkan cebisan daging kaki seorang mangsa kemalangan di sini, petang tadi.
Jamalulail Md Alias, 52, berkata, dia dimaklumkan tentang kejadian itu salah seorang anaknya menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 3.15 petang.
"Anak hantar WhatsApp ada kemalangan dekat rumah. Tanpa berlengah saya terus ke tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian.
Dia yang menetap di Parit 16 Sungai Panjang berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia melihat pihak perubatan sedang melakukan bantuan kecemasan terhadap mangsa sambil dia terus mengutip daging bertaburan menggunakan kertas surat khabar.
"Saya masukkan daging yang dikutip ke dalam plastik. Masa tu saya tak fikir apa, melainkan dalam hati berdoa supaya dia (mangsa) selamat," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, membonceng sebuah motosikal jenis Honda EX5.
Dalam kejadian itu, Siti Nuraisyah putus kedua-dua kakinya selepas digilis sebuah lori, manakala kakak tirinya, S Shamim Amira Roslan, 14, mengalami kecederaan terseliuh kaki kanan dan kiri.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kedua-dua mangsa itu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Parit 16 Sungai Panjang.
"Sebelum kejadian, sebuah Perodua Kancil dipercayai memintas motosikal mangsa dari arah sama sebelum kedua-dua mangsa tergesel lalu terjatuh.
"Pelajar tingkatan satu terbabit jatuh ke tengah jalan sebelum sebuah lori dari arah bertentangan sampai di tempat kejadian lalu menggilis kaki mangsa , manakala kakaknya tercampak di kiri jalan," katanya.
Katanya, Siti Nuraisah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum dihantar ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut.
Sehubungan itu, katanya, beliau meminta pemandu Perodua Kancil dan lori serta saksi kejadian tampil menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 0332242613 bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan kes kemalangan itu dikendalikan Inspektor Afiq Azhar Azrul Hardav di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987
.
No comments:
Post a Comment