ALOR SETAR - Pemain import Kedah, Liridon Krasniqi terkejut apabila cermin kereta yang disewanya dipecah penjenayah selepas dia kembali dari kedai gunting rambut di Taman Anggerik, di sini, pagi tadi.
Pemain berusia 23 tahun tersebut memuatkan status di Facebooknya dan mengecam sikap pelaku penjenayah tersebut yang mencuri beg duit serta menyifatkannya satu perbuatan melampau.
Katanya, dia sangat kecewa dengan apa yang menimpanya dan bersedia untuk membantu jika pencuri tersebut meminta pertolongannya.
Difahamkan sebanyak RM3,000 duit bonus dan sebuah beg berjenama di dalam kereta tersebut hilang.
Sebelum ke kedai gunting rambut, Liridon baharu sahaja selesai latihan sesi pagi bersama pasukan Kedah di Stadium Mini Peremba untuk aksi perlawanan Liga Super 2016 menentang Perak di Ipoh, esok.
Setakat ini, Liridon masih belum membuat laporan polis.