REMBAU – Seorang kontraktor berhadapan detik-detik mencemaskan apabila ingin mengelak sebuah kenderaan yang masuk ke laluannya lalu hilang kawalan dan terbabas merempuh pintu pagar Balai Polis Pedas, di kilometer 20, Jalan Seremban-Tampin, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang memandu pacuan empat roda jenis Isuzu Demax berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Tampin menghala Seremban dan sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan di laluan bertentangan telah masuk kelaluannya.
“Mangsa kemudiannya cuba mengelak namun hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh tembok pintu pagar Balai Polis Pedas . Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun terdapat kerosakan harta benda balai.
“Susulan perlanggaran ini, tembok pintu pagar masuk sebelah kanan pecah, sementara pagar ,tiang pagar,dan kunci pagar balai rosak.  Selain itu, beberapa pasu bunga dan kolam lanskap juga pecah,” katanya kepada Sinar Harian.
Ibrahim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah peraturan 10 LN 166/59.