SEREMBAN - Kemeriahan orang ramai di Mini Karnival Keusahawanan Mara di Bangunan Seremban Plaza bertukar kecoh apabila terdapat pokok tumbang akibat hujan lebat dan ribut, petang tadi.
Malah kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu turut menyebabkan beberapa kenderaan rosak teruk akibat dihempap pokok.
Orang ramai yang berada di khemah bertempiaran lari apabila angin kuat turut menyebabkan ada khemah tumbang.
Kejadian sama turut berlaku di Jalan Seremban – Ampangan apabila pokok tumbang menghempap kereta dan menyebabkan berlaku kesesakan teruk di kedua-dua hala.
Difahamkan, turut berlaku kemalangan di Jalan Ampangan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya terdapat beberapa orang awam yang kelihatan trauma kerana terkejut dengan kejadian berlaku.
Setakat jam 7 petang tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban dan Polis masih melakukan kerja-kerja memotong pokok.