TELUK INTAN - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan mencuri duit tabung salah sebuah masjid di Hutan Melintang awal bulan lalu.
Tertuduh, Mohammad Iqmal Khalid, 20 dari Kampung Rungkup Kecil, Bagan Datuk hanya menundukkan muka memandang lantai ketika mendengar pertuduhan ke atasnya dibacakan juru bahasa.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Iqmal telah melakukan pecah masuk Masjid Jamek Pekan Hutan Melintang menggunakan pemotong besi sebelum mencuri wang tunai dianggarkan RM6,000.
[ARTIKEL BERKAITAN: Adik-beradik pecah tabung masjid]
Dia dituduh melakukan kesalahan berkenaan pada 5.40 pagi 6 Mac lalu dan didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Namun, Hakim Norita Mohd Ardani menetapkan 17 April depan untuk jatuh hukuman sementara menunggu laporan sosial tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ekoran tertuduh merupakan pesalah bawah umur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Suffian Ja'afar manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
No comments:
Post a Comment