TAPAH - Dua cedera selepas terjatuh daripada motosikal ditunggangi gara-gara terlanggar seekor kerbau dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 319.5 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan sebelum susur keluar Tapah di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, Mohd Firdaus Shuhaimi, 23, dan rakan perempuannya, Fazhlin Syaqirah Zainuddin, 19, cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kejadian tersebut  berlaku apabila kereta dipandu oleh Azhar Ali di lorong kiri tidak sempat mengelak seekor kerbau di lebuh raya berkenaan.
"Perlanggaran itu menyebabkan kerbau tersebut mati di tempat kejadian,," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Som Sak berkata, Mohd Firdaus yang menunggang di lorong kiri pada masa kejadian tidak sempat mengelak dan melanggar kerbau tersebut sebelum dia dan rakannya Fazhlin Syaqirah terjatuh di atas jalan.
"Sebuah lori yang membawa muatan pallet kayu kemudiannya melanggar kerbau berkenaan selepas gagal mengelak sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah motosikal lain yang diletak di lorong kecemasan.
"Lori yang dipandu Kassim Ibrahim, 55, kemudiannya terbalik ke bahu jalan. Namun, pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. - Bernama