SEREMBAN - Gara-gara melonggokkan sampah di tempat tidak sepatutnya tiga tahun lalu, dua lelaki diarah membayar denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, pagi tadi.
Hakim Ahmad Fairuz Mohd Puzi menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Soon Chye,27, dan Muhammad Amir Izzuan Razali, 30, selepas mereka membuat pengakuan bersalah.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dikenakan penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan dibacakan berasingan, Soon Chye bersama seorang lagi yang masih bebas telah melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal domestik di Lot 18155 hujung jalan utama, Taman Rasah Jaya Fasa 2 di sini, pada 20 Jun 2014, jam lebih kurang 9.30 pagi.
Sementara Muhammad Amir Izzuan pula telah melakukan perbuatan sama di Lot 13406 Persiaran Lavender Height, Taman Lavender Height pada 14 April 2014, jam lebih kurang 10.30 pagi.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71(8) Akta sama.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Muhmad Yasser Mohd Nasri, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.