Nuffnang

Tuesday, January 2, 2018

Penumpang terkejut tambang feri Langkawi naik


Penumpang terkejut tambang feri Langkawi naik
Harga tiket feri yang menjadi tular di media sosial.

ALOR SETAR - Rata-rata penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi terkejut apabila perlu membuat penambahan bayaran sebanyak RM3 selepas berlaku kenaikan harga tambang feri yang berkuat kuasa hari ini.
Penumpang yang membeli tiket melalui kaunter dari Kuala Kedah kini perlu membayar RM26 bagi dewasa (harga lama RM23) dan RM20 bagi kanak-kanak (lama RM17) manakala RM21 untuk dewasa (lama RM18) dan RM16 bagi kanak-kanak (lama RM13) bagi perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi.
Kenaikan yang sama juga turut dikenakan bagi perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah dan ke Kuala Perlis.
Bagaimanapun kenaikan harga berkenaan hanya dikenakan terhadap penumpang yang membeli tiket di kaunter manakala pembelian secara dalam talian kekal pada harga lama.
Seorang pengguna Zulkifli Ahmad, 49, dari Pokok Sena berkata, dia yang hendak pulang ke Kuala Kedah terkejut apabila anak lelakinya memberitahu wang yang diberikannya untuk membeli tiket di kaunter Jeti Langkawi tidak mencukupi kerana berlaku kenaikan harga tambang feri.
"Semalam, saya bersama tiga anggota keluarga beli tiket di Jeti Kuala Kedah untuk ke Langkawi dengan harga RM23 seorang tetapi hari ini semasa anak lelaki saya hendak beli tiket balik ke Kuala Kedah, dia kata duit tidak cukup kerana tambang naik kepada RM26 seorang.
"Perkara ini memang sudah dijangka tetapi saya terkilan kerana pihak syarikat penyedia perkhidmatan feri terbabit tidak mengeluarkan sebarang makluman awal berkaitan kenaikan harga tambang tersebut dan ini menambah bebanan rakyat," katanya semasa ditemui di Jeti Kuala Kedah, hari ini.
Imran Abd Malik, 35, dari Kuala Lumpur berkata tindakan menaikkan harga tiket feri adalah tidak wajar kerana itu akan menjadi penghalang kepada para pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk datang ke Langkawi.
“Aktiviti pelancongan di Langkawi mampu membantu memperkukuhkan struktur ekonomi di kawasan tersebut. Dengan kenaikan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada jumlah pelancong yang ingin berkunjung ke sana,” katanya.
Norini Ishak, 34, yang juga dari Kuala Lumpur berkata dia tidak mengetahui tentang kenaikan harga tiket sebanyak RM3 jika dibeli di kaunter dan boleh mendapatkan harga tiket asal jika dibeli secara dalam talian.
“Pihak yang terlibat perlu memaklumkan kepada pengguna pengangkutan tersebut lebih awal mengenai kenaikan harga tiket itu kerana saya hanya mengetahuinya ketika ingin membuat pembelian di kaunter.
“Walaupun kenaikan cuma RM3 tetapi ia akan memberi impak yang tinggi kepada para pengunjung yang mempunyai anggota keluarga yang ramai,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Operasi Ferry Line Ventures Kuala Kedah, Ahmad Azizan Aziz berkata kenaikan harga tambang feri sebanyak RM3 itu merupakan caj untuk pengurusan dan kenaikan itu telah dipersetujui hasil perbincangan di antara pihak pengurusan feri dan Jabatan Laut.
"Kami hanya menurut arahan pihak pengurusan, lagi pun sudah hampir 10 tahun harga tiket tidak naik jadi saya lihat kenaikan RM3 ini tidak membebankan dan kenaikan ini mengikut kos semasa.
"Tetapi, penumpang masih boleh membeli tiket dengan harga RM23 secara dalam talian. Bagi penumpang yang berasal dari Langkawi, mereka hanya perlu membayar RM20 seorang dengan menunjukkan kad pengenalan semasa membeli tiket di kaunter," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata tiada kenaikan tambang feri ke Langkawi berlaku sebaliknya hanya caj pengurusan sebanyak RM3 yang dikenakan kepada penumpang yang membeli tiket melalui kaunter.
Katanya, langkah itu bertujuan menggalakkan orang ramai membeli tiket secara dalam talian yang masih dijual pada kadar sama. - Bernama

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung