Nuffnang

Monday, July 9, 2018

Kenapa perlu tutup sekolah tahfiz? Soal Mujahid

Kenapa perlu tutup sekolah tahfiz? Soal Mujahid
Muka depan Sinar Harian hari ini.

SHAH ALAM - Saranan menutup semua sekolah tahfiz di negara ini ditolak susulan ia dilihat tidak berasas malah boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata saranan dikemukakan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin itu tidak ada alasan yang konkrit.
Malah beliau turut mempertikaikan saranan Zainuddin itu kerana menurutnya menghapuskan sekolah tahfiz tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
“Cadangan itu tak ada sesuatu yang konkrit. Saya anggap itu hanya satu kenyataan yang tidak ada apa-apa isu. Kenapa kita perlu tutup sekolah tahfiz? Itu soalan yang perlu saya tanya kepada beliau.
“Sedangkan sekolah tahfiz ini menyumbang kepada kelahiran para hafiz yang kemudian mereka menjadi imam-imam di masjid. Jika benar ada kelemahan-kelemahan dari sudut kurikulum, mahad tahfiz itu sendiri atau keselamatan apa yang perlu kita buat ialah kawal selia supaya jadi lebih baik bukan dengan tutup.
“Menghapuskan itu tidak akan selesaikan masalah pun jadi saya sukar menerima saranan itu kerana terlalu abstrak dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, Zainuddin atau dikenali sebagai Zam melalui laman blognya mengulang saranan agar menutup semua sekolah tahfiz di negara ini yang didakwanya tidak memberikan harapan kepada masa depan generasi baru Islam.
Tahun lalu, Zainuddin mengutarakan cadangan sama selepas berita kematian seorang pelajar tahfiz di Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Kota Tinggi dilaporkan.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata pihaknya juga akan meneliti cadangan Jawatankuasa Tindakan Khas Mengenai Sekolah Tahfiz yang pernah dipengerusikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
“Kita akan teliti balik apa cadangan pihak jawatankuasa itu tapi dalam hal ini tidak ada isu supaya dihapuskan tapi yang ada kita nak kawal selia matlamat negara, konteks tempatan, kurikulum dan penyesuaian.
“Hal ini supaya apabila pelajar tahfiz habis belajar nanti bukan sekadar menjadi imam tapi boleh juga bekerja secara teknikal. Kita mahu melahirkan sekolah tahfiz yang ‘versatile’ bukan sekadar ilmu agama tapi kita mahu melahirkan pelajar tahfiz yang juga seorang jurutera, saintis, arkitek, pentadbir. Ini semua kita boleh baiki,” katanya.
Beliau juga menegaskan soal pakaian yang dibangkitkan Zainuddin bukan perkara besar malah ia boleh dikawal.
“Sebab itu saya kata dalam mengambil alih tugas sebagai menteri di JPM ini, saya mengatakan Islam di Malaysia ini perlu digayakan seperti orang Malaysia.
“Adakah dengan memakai songkok dan baju Melayu kita tak boleh jadi hafiz? Itu benda teknikal. Tapi tak kan kerana itu (pakaian) nak hapus terus,” katanya.

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung