KUALA LUMPUR – Negarawan ulung Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja muncul sebagai Perdana Menteri tertua di dunia pada usia 93 tahun tetapi juga disanjungi kerana ketokohannya dalam memimpin negara dan memperjuangkan pelbagai isu demi keamanan dan kemakmuran nasional dan sejagat.
Sejak dipilih semula menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada 10 Mei lepas, selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Dr Mahathir atau nama pentas antarabangsanya Dr M juga disegani pemimpin negara dunia pertama, negara maju mahupun negara membangun.
Memulakan langkahnya pada 11 dan 12 Jun lepas, Dr Mahathir telah berucap pada Persidangan Antarabangsa Masa Hadapan Asia ke-24 di Jepun dan ini adalah lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak kembali ke jawatan Perdana Menteri.
Antara intipati lawatan itu adalah Malaysia, melalui Dr Mahathir, telah memohon pinjaman Yen dari Jepun sebagai langkah menurunkan hutang Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM1 trilion.
Tujuh behari kemudian, Dr Mahathir membuat lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, kunjungan pertama ke negara Asia Tenggara itu selepas menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua dengan Kuala Lumpur dan Jakarta bersepakat untuk menangkis kempen negatif Eropah terhadap industri minyak sawit.
Mesej utama dalam lawatan itu adalah Dr Mahathir percaya bahawa Malaysia dan Indonesia sebagai pengeluar utama komoditi itu perlu bekerjasama melawan kempen yang dijalankan Eropah memburukkan industri negara.
Di Jakarta juga, Dr Mahathir membayangkan kemungkinan menghidupkan semula projek kereta Malaysia-Indonesia untuk pasaran Asean yang mana idea itu pernah diketengahkannya pada Februari 2015 semasa memandu uji sebuah kereta Proton dengan Presiden Indonesia Joko Widodo duduk di sebelahnya.
Tidak cukup dengan itu, walaupun usianya itu, namun Dr Mahathir masih berjiwa besar dan meneruskan misi mengharumkan nama negara di pentas dunia apabila membuat lawatan rasmi lima hari ke China, bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan 44 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Dr Mahathir sekali lagi melakukan lawatan rasmi ke China sebagai perdana menteri selepas tempoh kira-kira 17 tahun, dengan kali terakhir melakukan lawatan rasmi ke negara itu pada Oktober 2001.
Di sini, wawasan jauh beliau jelas apabila Dr Mahathir mengumumkan yang Malaysia berminat meneroka teknologi e-dagang terkemuka dunia kumpulan Alibaba demi manfaat rakyat Malaysia.
Dr Mahathir berkata Alibaba sangat memahami kehebatan teknologi, sambil berkata perniagaan secara dalam talian yang dihasilkan telah mengambil kira sistem penyampaian akaun, kepantasan serta akses kepada maklumat dan data.
Di sini juga Dr Mahathir menyuarakan harapannya supaya usahasama strategik antara Proton dan pengeluar kereta Geely China akan dapat meningkatkan proses menghasilkan kereta Proton yang lebih baik.
Pada September pula, Dr Mahathir menjenguk Bandar Sri Begawan di Brunei sekaligus menjadi lawatan rasmi keduanya ke negara Asia Tenggara selepas Indonesia yang juga sebahagian daripada siri lawatan pengenalan beliau sejurus menyandang kembali jawatan Perdana Menteri.
Ini sekaligus membuka peluang untuk kedua-dua pemimpin memperkasa hubungan dua hala dan kerjasama sedia ada selain membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar terkini kerajaan dan pendirian negara, khususnya isu-isu bersama.
Sultan Brunei adalah pemimpin asing pertama yang mengunjungi Dr Mahathir beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan Dr Mahathir berkata kini adalah masa untuk beliau membalas kunjungan itu.
Tidak terhenti di situ, Dr Mahathir meluaskan sayapnya ke pentas dunia apabila melakukan dua siri lawatan kerja ke United Kingdom pada 21 September hingga 25 September dan 29 September hingga 1 Oktober iaitu lawatan pertamanya ke negara Eropah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua.
Sejarah dicipta apabila Dr Mahathir turut menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-73 semasa selang waktu lawatan ke UK. Kehadiran beliau ke PBB kali ini selepas kali terakhir tampil di pentas dunia itu pada 2003 berlatarkan suasana ekonomi dan demografi politik dunia yang berbeza berbanding sewaktu menjadi Perdana Menteri keempat dahulu.
Di New York, Dr Mahathir dengan lantang mengulangi desakan supaya pembaharuan dilaksanakan dalam badan dunia itu dan telah mencadangkan bahawa kuasa veto tidak boleh dimiliki oleh hanya sebuah negara anggota tetap tetapi sekurang-kurangnya dua negara kuasa besar dengan disokong oleh tiga anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB.
Dr Mahathir, selaku pemimpin tertua dunia telah menarik perhatian pelbagai organisasi dunia apabila berani menempelak kerajaan Myanmar berikutan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Rakhine selain mencadangkan agar dunia mengiktiraf Palestin dan pada masa sama menghentikan tindakan Israel daripada mencabuli undang-undang antarabangsa.
Manakala pada bulan Oktober pula, Dr Mahathir melawat Thailand, jiran rapat Malaysia dan menjanjikan bahawa Kuala Lumpur akan memberikan bantuan “apa saja yang termampu” bagi menghentikan kitaran keganasan di wilayah selatan negara itu.
Malaysia adalah fasilitator kepada rundingan damai antara kerajaan Thailand dengan Majlis Syura Patani (MARA Patani) dan lawatan rasmi Dr Mahathir itu sekaligus mencetuskan kesungguhan dan semangat baharu dalam kalangan pegawai Malaysia dan Thailand untuk segera menggerakkan kembali proses damai selatan Thailand yang kini seolah-olah berada dalam keadaan nazak.
Usai beberapa hari kemudian, Dr Mahathir kembali ke Jepun dan dikurniakan darjah kebesaran ‘The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers’ oleh Maharaja Jepun, satu penganugerahan darjah kebesaran tertinggi negara Jepun oleh Maharaja Akihito itu berikutan sumbangan besar Perdana Menteri dalam memperkukuhkan hubungan dua hala.
Dr Mahathir adalah pemimpin ketiga Asia yang menerima anugerah berprestij ini selepas bekas Perdana Menteri Singapura mendiang Lee Kuan Yew dan bekas Perdana Menteri India Manmohan Singh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Jepun bagi tawaran jaminan penerbitan bon Samurai sehingga 200 bilion yen (RM7.4 bilion) dengan tempoh matang 10 tahun selain mendapatkan kerjasama JR Kyushu Railway Company bagi meneliti masalah pengangkutan tren di Malaysia.
Awal November pula, Dr Mahathir dan delegasi kerajaan menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-33 di Singapura yang turut dihadiri pelbagai lapisan pemimpin dunia sebelum beliau turut menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Papua New Guinea.
Lapan negara telah dilawati dan dikunjungi Dr Mahathir baik di peringkat Asean, Asia, Eropah dan dunia sejak kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu selepas PRU14, dan pastinya lebih banyak lagi ruang diplomasi akan diterokainya untuk kalendar tahun hadapan. -Bernama
No comments:
Post a Comment