Pemergiannya turut dirasai mutawif yang menguruskan jenazah arwah, Nurul Aswar Nasron, yang berkongsi pengalaman menakjubkan kerana berpeluang menguruskan jenazah wanita yang dikatakan suka bersedekah sepanjang hayatnya.
Kisah mengenainya dimuat naik Nurul Aswar di laman sosial miliknya pada 3 Disember jam 12.10 tengah hari waktu Madinah.
Menurut Nurul Aswar, Siti Faridah yang lebih mesra dipanggil Mak Lang dikenali sebagai seorang yang lembut tutur bicaranya.

"Tinggal lah Mak Lang di sini bersama lebih 100,000 para syuhada dan sahabat Nabi, berbahagialah Mak Lang. Esok, kami semua akan berangkat pulang ke Malaysia menyambung perjalanan hidup kami yang masih berbaki.
"Kisah Mak Lang pasti akan membuatkan air mata kami mengalir," coretnya.
Siti Faridah meninggal dunia 1 Disember lalu ketika sedang melangkah menuju ke Raudhah, Masjid Nabawi kira-kira jam 9 malam iaitu satu lokasi yang mana digelar taman syurga oleh Rasulullah SAW dan merupakan tempat paling mustajab untuk berdoa.


Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Baki, Kota Madinah yang terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi.

Menurutnya, biarpun perlu melalui pelbagai prosedur termasuk mendapatkan kebenaran rasmi dari waris, dokumen pengesahan pihak berkuasa, permit kubur dan pelbagai urusan lain, akhirnya proses pengebumian di Perkuburan Baki mendapat keizinan kerajaan Arab Saudi melalui pengurusan Masjid Nabawi.
"Alhamdulillah, proses pengurusan jenazah Allahyarhamah Mak Lang Hajah Faridah lancar, walaupun banyak prosedur yang perlu dilakukan, namun ianya memberi pengalaman yang sangat berharga.
"Bila dah dapat surat dari balai polis,  terus ke Masjid Bir Ali (tempat miqat)  untuk tujuan pengecaman jenazah, Alhamdulillah selepas itu ambulans membawa jenazah ke Masjid Nabawi untuk dimandi dan disolatkan,"katanya.
Menurut Nurul Aswar, perjalanan pulang ke Malaysia esok sudah pasti dirasakan amat berat serta suatu kehilangan besar bagi 46 jemaah kumpulan itu kerana terpaksa meninggalkan Mak Lang bersama 'kekasih ALLAH' yang lain di pusara indah yang sudah tertulis buatnya.