Sekali lagi dikaitkan dengan Macau Scam, Zulin Aziz nafi bakal dipanggil SPRM - “Maaf para pembenci, saya tiada masa melayan anda”
NAMA pengacara Zulin Aziz sekali lagi terpalit dengan isu Macau Scam selepas sebuah artikel melaporkan dua selebriti bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.
Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, 31, menafikan perkara itu dan menegaskan bahawa dia tidak pernah menerima sebarang dana atau mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Zulin Aziz tak tahu latar belakang suspek cuci duit haram, netizen buat spekulasi berdasarkan gambar percutian Itali
"Disini saya jelaskan, saya tidak pernah dipanggil untuk bantu siasatan oleh SPRM. Saya tidak ada kena mengena dengan sindiket itu.
"Malah tidak pernah menjalankan perniagaan dengan mereka dan tidak pernah sama sekali menerima apa-apa dana," kata Zulin.
Zulin memberi penjelasan di laman Instagram.
Menerusi laporan media pada Selasa, seorang artis lelaki dan wanita bakal dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.
Dua artis terkenal itu menjalankan perniagaan dan mempunyai lebih 1 juta pengikut di laman sosial akan dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM, selepas tiada artis diminta tampil memberi keterangan secara sukarela.
Rata-rata netizen membuat spekulasi sendiri dengan mendakwa Zulin merupakan selebriti wanita tersebut memandangkan sebelum ini namanya pernah dikaitkan dengan suspek kes sindiket itu.
Menerusi laporan mStar pada 16 Oktober lalu, Zulin meluahkan rasa kecewa apabila namanya turut dikaitkan mempunyai kaitan dengan beberapa individu termasuk berstatus 'Datuk Seri' yang sedang disiasat SPRM.
Enggan membiarkan netizen berterusan yang membuat spekulasi, Zulin bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan fitnah ke atas dirinya.
"Tapi sekiranya anda mengeluarkan kenyatan berbaur fitnah ke atas saya dan memberi andaian kepada orang lain untuk turut sama menfitnah, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," ujarnya.
Zulin mahu fokus kepada perniagaannya.
Dalam pada itu, Zulin memberitahu dia sudah menerima permohonan maaf daripada beberapa pihak yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya.
"Saya tegaskan sekali lagi, saya tidak akan beri muka kali ini. Kepada yang dah mintak maaf... dengan hati terbuka, saya memaafkan anda. Semoga dengan memberi kemaafan ini dan Allah beri saya ketenangan.
"Saya perlu fokus dalam kerja. Mereka menuntut 100 peratus komitmen dan fokus daripada saya. Semestinya saya nak melakukan yang terbaik dalam kerjaya saya.
"Oleh itu... maaf para pembenci, saya tidak ada masa melayan anda," ujarnya.
Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
No comments:
Post a Comment