Malu ke lucu? Guru tebal muka bawa keluarga serbu rumah orang yang disangka warung, tambah memalukan anak ‘buat hal’ bisik sesuatu di telinga
"SEBELUM ini pernah baca kisah seorang penunggang basikal tersilap singgah rumah orang yang disangkanya warung, kini perkara sama terjadi kepada kami pula."
Demikian kata seorang guru, Azam Mahat ketika bercerita mengenai insiden lucu yang dialami keluarganya, baru-baru ini.
Berkongsi cerita dengan mStar, Azam berkata segala-galanya bermula ketika dia bersama isteri, bapa dan dua anaknya bercuti di Pantai Timur ketika sambutan tahun baharu.
"Mula-mula kami bercuti ke Terengganu dahulu dan pada 1 Januari, barulah bertolak ke Kelantan. Sewaktu dalam perjalanan ke homestay yang terletak di Pasir Pekan, kami ternampak orang ramai beratur untuk mengambil makanan di sebuah warung ni.
"Saya cakap kat isteri, 'mesti makanan kat situ sedap-sedap, sampai ramai orang beratur nak makan, esok kita kena try makan kat situ'. Keesokannya selepas ke Pasar Siti Khadijah, kami pun cari semula warung tu.
"Bila sampai, kelihatan ada empat orang sedang duduk minum... malah saya disapa mesra oleh seorang lelaki di situ meminta supaya periksa angin tayar kereta sebab nampak macam kurang.
Tuan rumah yang merupakan suami isteri bersama seorang ahli keluarga mereka yang melayani keluarga Azam dengan begitu ramah.
"Kami masuk ke warung tu, anak-anak saya terus duduk di meja... kelihatan ada beberapa jenis lauk yang terhidang. Ada ayam percik, kari kambing, sambal etok... dalam hati memang cakap fuhh sedap ni," ceritanya.
Tambah guru berusia 39 tahun ini, keramahan tauke warung ditambah pula dengan susunan kerusi meja dan beberapa jenis lauk pauk membuatkan mereka sekeluarga tidak mengesyaki sesuatu, sehinggalah tiba masa untuk memesan minuman.
"Masa isteri tanya anak-anak nak minum air apa, tiba-tiba makcik di warung tu menghampiri meja kami dengan membawa teh 'O' satu jag. Katanya kalau nak air panas, nanti dia minta pembantu rumah buatkan.
Azam (kanan) mengabadikan kenangan ketika bercuti di Terengganu, baru-baru ini.
"Masa tu terus tak sedap hati... teringat kes sebelum ni yang makan dekat rumah orang yang dia sangkakan kedai makan. Spontan terus saya tanya 'ni bukan warung ke mokcik?'. Makcik tu jawab 'bukan... ini rumah mokcik'.
"Malu bukan kepalang rasanya... dan kami pun apa lagi, cepat-cepat mohon maaf dan nak beredar. Tapi mereka halang. Kata mereka 'apa salahnya... rezeki langkah kanan'.
"Makcik tu panggil anak-anak saya dan dia cedokkan lauk. Asalnya tak nak makan sebab malu, tapi mereka jemput juga makan," ujarnya yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Kluang, Johor.
Sepanjang menjamu selera, Azam berkata mereka berbual-bual dengan pasangan suami isteri tuan rumah berkenaan yang akhirnya menjawab persoalan mengenai kehadiran ramai 'pelanggan' seperti yang dilihat mereka sehari sebelumnya.
Malu bukan kepalang rasanya... dan kami pun apa lagi, cepat-cepat mohon maaf dan nak beredar. Tapi mereka halang.
AZAM MAHAT
GURU
"Rupa-rupanya mereka buat kenduri kesyukuran... orang beratur semalam tu bukan pelanggan tetapi tetamu yang ikut SOP. Nak dijadikan cerita memang mereka tak pasang khemah macam kenduri biasa tu... hanya meja disusun dalam kawasan rumah dan memang nampak sebijik macam warung," ceritanya lagi.
Tambah guru ini, dia tidak menyangka perkongsian kisah tersebut menjadi tular di media sosial kerana tujuannya sekadar mengabadikan kenangan lucu buat tatapan rakan pengikut.
"Mulanya memang malu nak share, tapi saya fikir perkongsian ni nak ceritakan mengenai betapa baiknya pasangan suami isteri orang Kelantan yang kami temui.
Azam dan isterinya tidak dapat melupakan layanan yang diberikan oleh pasangan suami isteri yang disangka mereka pemilik warung.
"Layanannya memang terbaik... masakannya pun memang sangat sedap. Sampai anak perempuan saya berbisik nak tambah nasi. Tapi saya balas 'jangan bagi malu abah, nak'. Betul, memang sedap masakannya.
"Sebelum pulang, bila nak bayar, mereka bersungguh-sungguh tak mahu terima. Saya doakan mereka dimurahkan rezeki dan hanya Allah saja mampu membalas.
"Memang insiden yang berlaku ini kenangan manis dan lucu pada awal tahun yang memang takkan kami lupakan sampai bila-bila," ujarnya lagi.
Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
No comments:
Post a Comment