“Angin bertukar arah, payung jatuh ke depan” - Tak serik jatuh paragliding , wanita ini cuma relaks sekejap sebelum cuba terbang sekali lagi..Mstar
KUNJUNGAN gadis ini ke Jogjakarta, Indonesia sebelum pandemik Covid-19 melanda ternyata menyimpan kenangan yang sukar untuk dilupakan.
Imbas Nur Anisa Shahira Abdullah, 24, dia tersadung di lereng bukit ketika mencuba aktiviti esktrem paragliding dan menganggap ia satu pengalaman cukup berharga buatnya.
Video yang dirakam pada Januari 2020 itu turut dikongsi ke laman TikTok miliknya baru-baru ini sehingga ia meraih lebih 5.4 juta tontonan.
Dia yang mesra disapa Anisa bagaimanapun tidak pernah serik atau menyesal, malah mahu mencuba lebih banyak aktiviti ekstrem pada masa akan datang.
"Saya pergi ke sana berdua dengan ibu saudara. Kami pergi dalam empat ke lima hari, paragliding di atas bukit merupakan salah satu aktiviti yang kami cuba.
"Pada waktu itu, ibu saudara saya sudah selesai melakukan penerbangan. Jadi dia rakam video ketika saya nak berlepas.
"Saya teruja, memang tak rasa takut. Tapi angin tak menentu pada waktu itu. Ketika nak berlepas, angin bertukar arah dan payung jatuh ke depan.
Anisa merupakan graduan bidang Kerja Sosial dari Universiti Sultan Zainal Abidin.
"Saya tak boleh control lalu terjatuh, tapi abang yang bawa paragliding yang naik dengan saya sempat brek. Jadi kami jatuh sedikit di kawasan tepi bukit yang menurun," imbasnya kepada mStar.
Menurut Anisa, bukan dia sahaja, sebaliknya ibu saudaranya, Wan Norfazilah Wan Ismail juga sangat meminati sukan lasak dan ekstrem.
InsyaAllah saya nak ulang lagi pada masa akan datang, tapi kalau boleh nak cuba di negara lain pula.
ANISA
Jelasnya, idea untuk mencuba paragliding juga diutarakan ibu saudaranya sebelum mereka berangkat ke sana dan dia menyambut baik cadangan itu dengan hati terbuka.
Bercerita lanjut mengenai pengalaman pada waktu itu, Anisa berkata kesan calar di tangan akibat terjatuh tidak mematahkan semangat, sebaliknya dia bersemangat membuat percubaan kedua sebelum berjaya terbang dan mendarat di kawasan pantai berdekatan.
Tambah gadis dari Tumpat, Kelantan itu, terbit satu rasa kepuasan luar biasa tatkala terbang di udara sambil menikmati panorama alam ciptaan Allah.
Anisa berkunjung ke sana bersama ibu saudaranya.
"Kami tunggu angin dah stabil, kami cuba buat kali kedua dan Alhamdulillah kami berjaya terbangkan paragliding itu.
"Saya tak ingat berapa lama kami di udara tapi ia sangat seronok. Bila berada di atas, saya jadi teruja tengok view luar biasa yang sangat cantik.
"InsyaAllah saya nak ulang lagi pada masa akan datang, tapi kalau boleh nak cuba di negara lain pula. Saya teringin nak ke Korea Selatan selepas ini.
Foto kenangan ketika berkunjung ke Indonesia.
"Sepupu saya pernah ke sana. Dia kata taman tema di sana ada banyak permainan ekstrem," ujar graduan bidang Kerja Sosial dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu.
Dedah Anisa, video dia terjatuh di lereng bukit itu pernah dikongsi di YouTube miliknya, namun sambutan di Tiktok kali ini cukup luar biasa.
Malah katanya, dia terkejut apabila video itu dihujani pelbagai komen netizen sehingga meraih jutaan tontonan.