Hukum Jual Beli ‘Cedok-cedok’, Ini Jawapan Mufti Wilayah Persekutuan
ADVERTISEMENT
Perniagaan yang halal seperti kita tahu adalah salah satu jalan untuk kita mencari rezeki dan menambahkan pendapatan yang digalakkan dalam Islam.
Dapat kita lihat hari ini, ramai diantara kita yang semakin hari, semakin berjaya dan maju dalam pelbagai jenis perniagaan yang dilakukan.
Namun, tidak semua jenis perniagaan itu boleh dilakukan oleh umat Islam, lebih-lebih lagi jika ia memudaratkan seperti penjualan arak, judi dan sebagainya.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan perniagaan. Mungkin apa yang kita sangka betul, sebenarnya salah di sisi agama. Apabila timbul kekeliruan, kita hendaklah merujuk kepada alim ulama untuk mendapatkan kepastian.
Baru-baru ini, media sosial kita disajikan dengan amalan penjualan ‘cedok-cedok’ dengan harga tertentu. Ekoran daripada itu, timbul persoalan apakah hukum dalam Islam disebalik cara perniagaan tersebut.
ADVERTISEMENT
Menjawab persoalan tersebut, kami kongsikan jawapan dari Mufti Wilayah Persekutuan, SS. Dr. Luqman Bin Hj. Abdullah mengenai status dalam Islam berkaitan hal tersebut.
Ikuti perkongsian dari beliau yang telah kami sertakan di bawah, semoga bermanfaat.
Soalan
ADVERTISEMENT
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya mengenai isu yang tular di laman sosial sekarang berhubung jual beli menggunakan cedok, yang mana penjual menjual barangan dengan meletakkan harga bagi satu cedokan menggunakan bekas, raga atau seumpamanya, lalu pembeli akan dapat sekadar apa yang dikaut atau dicedok oleh bekas itu.
Soalan saya, adakah Islam membenarkan jual beli sedemikian? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Jual beli cedok dilihat mempunyai unsur-unsur yang diharamkan oleh syarak seperti gharar (ketidakpastian), maisir (perjudian) dan menafikan hak khiyar (memilih) pembeli. Oleh kerana itu, jual beli cedok adalah haram di sisi syarak.
Dinasihatkan masyarakat tidak melibatkan diri di dalam urusan jual beli sebegini sementara kepada peniaga hendaklah menggunakan kaedah jualan yang bebas dari unsur-unsur yang diharamkan syarak bagi memastikan keuntungan yang diperoleh adalah halal.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
Surah al-Baqarah (275)
Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak[1].
Oleh yang demikian, pada dasarnya, segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti gharar(ketidakpastian), maisir(perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan. Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.
Dalam Islam, jual beli terdiri atas tiga rukun utama iaitu:
1. Pihak yang berakad (penjual dan pembeli),
2. lafaz akad (lafaz ijab dan kabul)
3. Objek yang diakadkan (iaitu barangan dan harga)[2].
Bagi setiap rukun ini pula, ada beberapa syarat yang memberi kesan terhadap kesahihan akad dan juga hukum. Menyebut berkenaan rukun ketiga iaitu barangan yang diakadkan, maka di sini ada beberapa syarat yang perlu ada padanya, antaranya ialah barangan jualan tersebut mestilah diketahui oleh kedua-dua belah pihak iaitu penjual dan pembeli.
Walaupun tidak disyaratkan mengetahui segenap aspek sehingga sekecil-kecil perkara mengenai barangan jualan tersebut, namun perlu diketahui maklumat asas berkenaannya seperti jenis barangan, kadar bilangan, sifat, bentuknya, dan lain-lain.
Justeru, tidak dibenarkan menjual barangan yang tidak diketahui hakikat dan fizikalnya seperti contoh: “Aku menjual salah satu baju yang ada dalam kotak tersebut.” Hal ini kerana, perniagaan sebegini mempunyai unsur ketidakjelasan yang keterlaluan (fahisy) dan boleh mengundang kepada pertelingkahan dan pergaduhan antara penjual dan pembeli[3].
Di samping itu, Nabi SAW turut melarang daripada melakukan jual beli al-Gharar atau jual beli yang mengandungi unsur ketidakpastian. Sabda Nabi SAW:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang jual beli al-hashah(melempar batu) dan jual beli gharar(ketidakjelasan).”
Riwayat Muslim (1513)
Bagi jual beli secara cedok, terkandung padanya beberapa unsur-unsur yang ditegah syarak iaitu adanya unsur gharar(ketidakjelasan), maisir(perjudian) dan juga unsur menafikan hak khiyar yakni kuasa memilih pembeli.
Pertama: Unsur gharar (Ketidakpastian)
Unsur ini wujud dalam transaksi ini apabila berlakunya ketidakpastian terhadap kadar, nilai dan juga jenis barangan yang diterima oleh pembeli sebaik sahaja penjual mencedok barangan yang bercampur tersebut. Dalam hal ini, berlaku ketidakpastian tentang apakah barang yang akan diperoleh semasa akad jual beli.
Kedua: Unsur maisir (Perjudian)
Imam al-Mawardi ada menyebut berkenaan takrifan judi iaitu suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan[4].
Maka, jika diperhatikan, transaksi jual beli ini ada mengandungi unsur perjudian di mana ada pihak yang untung dan ada pihak yang akan rugi. Sekiranya barangan yang dicedok tersebut nilainya lagi rendah daripada harga yang dibayar oleh pembeli, maka disini pembeli adalah pihak yang mengalami kerugian. Begitu juga sebaliknya.
Jual beli sebegini dilihat mempunyai unsur perjudian kerana barang yang dijual tidak jelas serta wujud perbuatan menafikan kehendak salah satu pihak. Memetik petikan kitab al-Fiqh al-Manhaji :
“Jual beli yang mengandungi unsur perjudian merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas, atau wujud perbuatan yang menafikan kehendak salah satu pihak[5].”
Ketiga: Unsur menafikan hak khiyar pembeli
Ia boleh dilihat dari sudut pembeli tiada hak untuk memilih sesuatu barangan yang hendak dibelinya. Maka, perkara ini telah menafikan hak pembeli yang pada dasarnya bebas untuk memilih barangan.
Hal ini jelas kelihatan tatkala pembeli ingin membeli barangan campuran yang ada dalam bekas tersebut, ada yang bersaiz besar, kecil, harga mahal, ada yang harga murah dan pelbagai jenis lagi. Pembeli perlu membayar sebanyak harga sekian terlebih dahulu sebelum penjual mencedok barangan campuran tersebut secara siaran langsung.
Terdapat kemungkinan pembeli akan dapat dan tidak dapat apa yang dimahukan. Seterusnya, apa yang dicedok tersebutlah yang menjadi milik si pembeli tanpa pembeli boleh memilih barangan yang dia mahu. Jual beli sebegini mirip dengan gambaran jual beli Munabazah dan Mulamasah yang diharamkan oleh Syarak.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الْمُلاَمَسَةُ وَالْمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli secara sentuh-menyentuh (mulamasah) dan campak-mencampak (munabazah).”
Riwayat al-Bukhari (5482)
Gambaran jual beli Mulamasah ialah seorang lelaki menyentuh sehelai pakaian dengan tangan pada waktu malam atau siang dan dia tidak boleh mengambil selain daripada barangan yang disentuhnya.
Manakala gambaran jual beli Munabazah pula ialah seorang lelaki mencampakkan bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki pertama, dengan itu berlakulah jual beli tanpa melihat atau saling meredai.
Jual beli yang hampir sama dengan jual beli sentuhan dan campakan ialah jual beli baling batu (hashah) sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis sebelumnya. Dalam jual beli ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk berjual beli salah satu barang dan ia ditentukan dengan cara yang salah seorang antara mereka membaling anak batu, dan mana-mana barangan yang terkena batu tersebut akan dijual. [6]
Kesimpulan
Jual beli cedok dilihat mempunyai unsur-unsur yang diharamkan oleh syarak seperti gharar (ketidakpastian), maisir (perjudian) dan menafikan hak khiyar pembeli. Oleh kerana itu, jual beli cedok adalah haram di sisi syarak. Dinasihatkan peniaga untuk menggunakan kaedah jualan yang bebas dari unsur-unsur yang diharamkan syarak bagi memastikan keuntungan yang diperoleh adalah halal. sumber siakap keli
No comments:
Post a Comment