[VIDEO] Anak manja abah! Bapa dedah sikap pemuda pengsan masa kawad... tak lokek pelukan, cium pipi - “Apalah sangat kaki pedih”
KISAH tular seorang bapa yang sanggup berlari ke tengah padang kawad sejurus melihat anak lelakinya jatuh pengsan masih hangat diperkatakan.
Momen pengorbanan ditunjukkan seorang bapa terhadap anaknya, Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi, 22, cukup memberikan inspirasi kepada warganet, dalam kejadian sewaktu sambutan Hari Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Kajang, Selangor, Khamis.
Ketika dihubungi mStar, bapa kepada Nik, Abdul Aziz Ya’acob, 60, menceritakan kisah menyayat hati yang memperlihatkan kesanggupannya menerpa membantu Nik yang pengsan sewaktu berkawad, dalam keadaan tidak berkasut.
Aziz dan Rosmawati bergerak dari Kelantan ke Puchong menaiki bas.
“Dua hari sebelum majlis tu, saya dan isteri bergerak dari Pengkalan Kubor, Kelantan ke rumah anak kedua di Kampung Tengah, Puchong, Selangor menaiki bas jam 7.30 malam.
“Kami tiba di rumah anak lebih kurang jam 6 pagi setelah dijemput olehnya. Saya bermalam di rumah anak pada Rabu.
“Saya tak bawa kereta sendiri sebab tak sanggup nak hadap kesesakan lalu lintas. Walaupun bekerja pandu kereta sewa tapi saya mampu bawa di kawasan dekat-dekat saja,” ujarnya yang membesarkan Nik sejak usianya tiga bulan.
Bercerita mengenai hari kejadian, Aziz yang memiliki tujuh cahaya mata berkata dia hadir ke majlis tersebut bersama isteri, Rosmawati Ismail dan anak keduanya.
Tambahnya, dua - tiga hari sebelum kejadian, Nik yang bertugas sebagai anggota polis di Tawau, Sabah ada menghubunginya dan mengadu mengenai keadaan dirinya yang demam.
Bimbang dengan tahap kesihatan anaknya, Aziz awal-awal lagi memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Nik semasa berkawad sebagai anggota kadet platun Alpha bagi sesi pertama.
Nik mengadu tidak sihat ketika Hari Penguatkuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, Selangor.
Namun, dia tidak menyangka perkara paling dirisaukan benar-benar berlaku apabila Nik pengsan dan momen itu dapat dirakam lensa sebelum rakaman kejadian tular.
“Waktu berkawad sesi pertama isteri ada beritahu dia tengok Nik tak larat. Bila jumpa Nik sebelum kawad sesi kedua, dia ada beritahu tak larat dan masih demam. Tapi walaupun letih, dia cakap nak cuba lagi. Dia tetap nak buat juga sampai habis walaupun dah mengaku tak larat.
Walaupun jalan tar panas masa jaga dari belakang tapi saya dah tak peduli sebab lagi pentingkan keadaan anak saya. Apalah sangat kaki saya pedih sikit nak dibandingkan dengan anak yang tengah sakit.
ABDUL AZIZ
“Nik sebenarnya susah nak sakit. Dulu masa dia sertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) atau mana-mana latihan dia tak pernah demam atau pengsan. Inilah pertama kali saya nampak dia betul-betul sakit dan dia pengsan depan mata saya sendiri.
“Selepas dia mengadu tak larat, saya mula perhatikan dia. Nampak saja dia pengsan, saya terus berlari dari bawah khemah untuk dapatkan Nik. Saya dah tak hirau fasal selipar yang tertanggal. Saya bantu dia bangun semula sebelum pasukan medik datang.
“Walaupun jalan tar panas masa jaga dan pegang dia dari belakang tapi saya dah tak peduli sebab lagi pentingkan Nik. Apalah sangat kaki saya pedih sikit nak dibandingkan dengan anak yang tengah sakit,” ujarnya dengan nada sayu.
Nik (tengah) bersama bapa dan ibunya.
Aziz kemudiannya beredar semula ke khemah setelah Nik memintanya berbuat demikian secara baik dan meyakinkan dirinya bahawa dia sudah mampu berdiri semula.
Bagaimanapun menurut Aziz, Nik yang memanggilnya dengan panggilan ábah' pengsan sekali lagi di khemah setelah selesai majlis namun dia hanya mampu melihatnya dari jauh kerana bimbang jika bertindak membantu, ia akan mengganggu proses rawatan oleh pasukan medik.
Aziz yang menetap di Kampung Geting, Kuala Kubu, Kelantan, turut menceritakan mengenai pengalaman membesarkan anak saudaranya itu yang sudah dianggap seperti anak kandungnya.
“Nik ni seorang anak yang pendiam saja. Akhlaknya baik dan dia sangat rajin. Masa dia belajar di Politeknik Kota Bharu, dia menjadi wakil untuk hafazan al-Quran di Melaka.
Tangkap layar kisah tular di Facebook.
“Dekat rumah pun Nik sangat rapat dan manja dengan saya. Dia selalu datang peluk dan cium pipi saya. Biasanya susah anak lelaki nak buat macam tu tapi Nik sememangnya tak segan nak zahirkan rasa kasih sayang pada saya,” ujarnya.
Untuk rekod, kisah ini yang dikongsikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi sebelum menjadi tular di Facebook.
Sehingga kini perkongsian tersebut telah meraih lebih 13,000 tanda suka dan lebih 9,000 perkongsian semula.
No comments:
Post a Comment