PRU15: Shahidan tetap akan bertanding
ARAU – Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan sebagai calon mengesahkan akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, beliau akan bertanding atas tiket parti lain yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Shahidan memberi bayangan bakal mewakili parti atau blok politik yang mempunyai semangat perpaduan ummah, Perikatan Nasional (PN).
“Saya adalah calon boleh menang. Saya akan bertanding dan akan tanya dulu ketua-ketua cawangan atas tiket apa saya akan bertanding.
“Saya akan pilih parti yang menggerakkan ke arah muafakat nasional. Setakat ini, belum ada perbincangan lagi tetapi mereka sudah maklum tentang apa yang berlaku terhadap saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Datuk Seri Shahidan Kassim, Kubang Gajah di sini sebentar tadi.
Dua nama besar di Perlis, Shahidan dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin digugurkan selepas BN mengumumkan calon lain bertanding di dua kerusi tersebut.
Shahidan turut mengkritik tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan pemilihan calon di negeri Perlis dan menyifatkan tindakan itu merosakkan dominasi BN di negeri tersebut.
“Ini dengan bangganya pilih hantar calon dari luar (ke Parlimen Arau dan Padang Besar),” katanya.
Shahidan menegaskan dia tidak takut dikenakan tindakan tatatertib oleh parti jika bertanding atas tiket parti lain kerana beliau bukan keluar parti, namun memberi bayangan bakal dipecat kerana kritikan keras terhadap Presiden UMNO.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai calon Parlimen Arau, Shahidan berkata,
Datuk Rozabil Abd. Rahman ialah orang luar yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti.
“Dia (Rozabil) orang Pulau Pinang, dia datang jenguk-jenguk Perlis dan saya lantik sebagai Setiausaha Politik saya.
“Akhirnya saya tidak sangka dia melawan saya balik,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment