Projek tebatan banjir: Kenyataan Anwar tolak fitnah Rafizi terhadap Tuan Ibrahim
Penjelasan Menteri Kewangan ketika membentangkan usul Bajet Mini 2023 di Dewan Rakyat hari ini (Selasa, 20 Disember 2022) berhubung projek tebatan banjir, sekali gus menafikan pembabitan bekas Menteri Air dan Sumber Asli, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam meluluskan perjanjian dan peruntukan bagi projek berkenaan.
Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga sekali gus menolak fitnah dilemparkan Timbalan Presiden PKR yang kini menjawat jawatan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, terhadap Tuan Ibrahim, ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Anwar ketika membentangkan usul Bajet Mini 2023 itu mendakwa ada perjanjian berhubung projek tebatan banjir yang diperuntukkan sebanyak RM15 bilion dan diluluskan sebanyak RM13 bilion, tetapi tidak menyatakan sama ada perjanjian itu dibuat sebelum atau selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.
“Daripada RM15 bilion rancangan tebatan banjir yang diluluskan secara rundingan terus, RM13.8 bilion telah diluluskan tapi belum dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan.
“Itulah sebab saya batalkan rundingan terus itu kerana dia (projek) tidak mendesak,” katanya tanpa menjelaskan bila projek tebatan banjir itu diluluskan.
Namun, mengikut rekod, kos projek tebatan banjir bagi tempoh lapan tahun mulai 2023 hingga 2030 sebanyak RM15 bilion yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, diumumkan pada April lalu ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjadi Perdana Menteri.
“Kaedah pembiayaan projek-projek ini sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan manakala perancangan secara holistik ini merangkumi projek jangka masa pendek atau sederhana dan panjang,” kata Ismail Sabri selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK12 kali pertama bagi 2022 pada 21 April.
Dalam ucapan hari ini juga Anwar mengakui bukan Tuan Ibrahim yang terlibat dalam kelulusan perjanjian projek tebatan banjir itu.
“Dalam kajian awal, Kementerian Kewangan berbincang dengan beberapa syarikat yang berkenaan yang telah diluluskan secara (rundingan) terus… ini bukan semestinya menteri KASA (Tuan Ibrahim)… yang ini terlibat dengan yang lain-lain cuma kementerian terlibat.
“Jadi saya faham Yang Berhormat (Tuan Ibrahim) tersinggung tapi tidak … saya nak sebut ini dari segi proses itu kelulusan dibuat… tetapi saya tidak, tidak kaitkan (Tuan Ibrahim)… saya cuma saya nak sebutkan proses itu ya diluluskan ada rekodnya, ada suratnya yang diluluskan. Tidak semuanya menteri tapi diluluskan.
“Dan saya tahan (tangguh projek tebatan banjir) kerana bila rundingan dalam tempoh minggu dua ini, kita boleh jimatkan hampir satu bilion ringgit,” kata Anwar lagi.
Sebelum ini, Rafizi mendakwa KASA meluluskan projek tebatan banjir itu selepas Parlimen dibubarkan yang sekali gus menyalahi undang-undang.
Rafizi mendakwa dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah sebagai timbal balas setelah menerima dana untuk digunakan sepanjang PRU-15.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah meluluskan sebarang projek di bawah kementerian itu sejak Parlimen dibubarkan, dan menyifatkan perbuatan Rafizi bertujuan untuk memfitnah dan menghancurkan kredibilitinya ketika PRU-15.
Susulan tindakan Rafizi yang terus mencanang fitnah itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS menyaman Ahli Parlimen Pandan itu bagi mencari keadilan dan kebenaran demi menghentikan budaya politik fitnah.
“Demi menghentikan budaya politik fitnah, perbuatan Rafizi yang membuat tuduhan jahat, penyelewangan fakta dan penipuan yang jelas bertujuan untuk memfitnah dan menghancurkan kredibiliti saya dan PAS diambang pengundian pada 19 November 2022 perlu diambil tindakan mengikut lunas undang-undang untuk mencari keadilan dan kebenaran.
“Saya berharap mereka yang telah difitnah Rafizi turut akan mengikut jejak saya. Insya-ALLAH, saman tersebut telah diterima oleh mahkamah dan peguam saya akan menyampaikan saman tersebut kepada Rafizi.
“Saya berharap beliau berani berhadapan dengan proses mahkamah mengikut lunas undang-undang dan bukan hanya berkokok melaungkan fitnah di media-media sosial dan pentas ceramah. Saya sahut cabaran Rafizi untuk menyaman beliau. Writ saman dan pernyataan tuntutan itu setebal 73 muka surat dan pihak mahkamah telah menerimanya,” kata Tuan Ibrahim.
No comments:
Post a Comment