Tiada rayuan akan dibuat untuk menyertai UMNO kembali, tegas Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bekas Ahli Parlimen (MP) Rembau yang dipecat kerana mahu melawan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan parti sebelum ini berkata sudah melupakan penganiayaan terhadapnya dan akan jalan terus, malah tidak akan merayu untuk kembali menyertai UMNO.

“We have to move on… kita pun rasa keputusan dah dibuat. Kita pun tak tahu kenapa kita dipecat. Nak minta kita rayu. There is no point,” katanya dalam episod terbaru ‘Keluar Sekejap’.

Dalam pada itu, Khairy juga dilaporkan berkata akan bertemu dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memuktamadkan keputusan selepas ditawarkan untuk menyertai parti Bersatu baru-baru ini.

Rakannya yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan juga mahu terus melangkah ke hadapan dan tidak melihat sebarang sebab untuk mereka merayu semula.

Bersetuju dengan kenyataan Khairy, Shahril berkata, tindakan tidak menerima pelawaan itu bukanlah menunjukkan mereka ego.

Menurut Shahril, Zahid boleh melakukan apa sahaja dirasakan terbaik untuk UMNO, bagaimanapun beliau enggan mengikut Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Lokman Adam yang kuat mengampu dan diterima semula masuk parti.

“Tak apalah, kita duduk kat luar dan boleh teruskanlah dengan apa yang presiden dan juga kepimpinan UMNO rasa terbaik.

“Saya tak sombong, saya rasa itu adalah pandangan datang daripada kawan tapi pada saya, kamu tak boleh ubah apa yang dah berlaku dan jika mereka nak kita move on, kita akan move dengan senyap dan terhormat,” katanya.

Terdahulu, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan keikhlasan pelawaan parti untuk menerima kembali mana-mana ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka digantung atau dipecat.

Ia selepas Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2023) berkata MT bersifat terbuka atas saranan perwakilan untuk menerima kembali ahli dikenakan tindakan disiplin sama ada dipecat ataupun digantung oleh parti.