KULAI: Dua mayat membabitkan seorang wanita dan bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan, ditemui di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, di sini, hari ini.
Mangsa wanita yang dipercayai berkemungkinan meninggal dunia akibat komplikasi bersalin itu dijumpai dalam keadaan sedang memeluk mayat bayi terbabit.
Difahamkan, mayat dipercayai dua beranak itu disedari seorang pejalan kaki kira-kira jam 8 pagi tadi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Menurut sumber, wanita itu dipercayai adalah seorang warga Indonesia dengan rambutnya diwarnakan serta memakai baju bercorak kotak-kotak, manakala bayi terbabit pula masih bertali pusat.
Difahamkan, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kesan darah atau kecederaan lain pada mayat terbabit, namun siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti sama ada wujud sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, mengesahkan penemuan dua mayat berkenaan tetapi tidak mengulas lanjut.
No comments:
Post a Comment