Dianggap sebagai "Mr Clean", beliau dipilih sebagai pengganti Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, hubungan mereka bertukar sebaliknya. Ini berkaitan isu menantu dan penasihatnya, yang dikenali "budak tingkat empat".

Bimbang legasinya terjejas, Mahathir kemudian memulakan genderang perang dan mula mengkritik kepimpinan Abdullah, yang dilihatnya sebagai pemimpin yang lemah.



Dan selepas kemerosotan teruk dalam pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan sokongan pada BN mula retak, Mahathir memutuskan merobek kerjaya politik Abdullah.

Dalam wawancara dengan sebuah buku baru, Awakening, the Abdullah Badawi years in Malaysia, Abdullah melontarkan kenyataan pedih kepada pendahulunya, dengan menggambarkan Mahathir sebagai lelaki yang penuh kontraldiksi.
NONEAntara lain, Abdullah (kiri) berkata, jika beliau mengikuti hasrat Mahathir dengan projek-projeknya seperti landasan berkembar RM14.5 bilion, negara ini mungkin akan muflis.

"Boleh kamu bayangkan jika saya mengalah pada Mahathir dengan terus tekanan berterusan untuk berbelanja ketika defisit sudah amat tinggi, bagaimana Malaysia akan mengharungi krisis kewangan dan minyak yang kemudiannya melanda pada 2008.

"Jika tidak tidak berhemat dan terus berbelanja, saya boleh katakan kita mungkin sudah muflis sekarang," katanya dalam wawancara yang disiarkan dalam buku baru yang dijadual dilancarkan pada bulan ini.

"Saya tidak suka apa yang Mahathir buat. Saya beri peluang kepada Mahathir untuk meluahkan pandangannya. Saya pergi bertemunya tetapi dia memilih menyerang saya dan pentadbiran saya secara terbuka," tambahnya.

Disunting oleh Bridget Welsh dan James UH Chin, buku setebal 620 halaman itu diterbitkan oleh Strategic Information dan Research Development Centre (SIRD), Kuala Lumpur.