Paling Banyak Di Terjah Tau !!! Sila Gunakan Fire Fox Atau I E ..kalau Ada Malwira

Tuesday, September 30, 2014

Pencuri Ini Dibelasah Sehingga Meninggal Di Bukit Mertajam

Pencuri Ini Dibelasah Sehingga Meninggal Di Bukit Mertajam 


Seorang penganggur yang cedera parah dipukul orang ramai kerana mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang pemandu lori Jumaat lepas, meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini, awal Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Rusli Mohd Noor berkata mangsa, Ooi Sim Guan, 38, mati pada pukul 12.40 pagi ini selepas kira-kira 36 jam tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di hospital berkenaan.

"Dalam kejadian pada pukul 2 petang Jumaat lepas, mangsa telah menahan sebuah lori di tepi jalan di Taman Sejahtera di sini dan memberitahu pemandu berkenaan dia ingin menumpang ke Bandar Bukit Mertajam.

"Pemandu lori berkenaan yang berusia 33 tahun yang sedang dalam perjalanan ke Kulim kemudian membenarkan mangsa menaiki lorinya namun selepas satu kilometer, mangsa memaklumkan ingin turun," katanya pada sidang akhbar di sini Ahad.

Beliau berkata selepas lelaki itu turun, pemandu lori berkenaan menyedari telefon bimbitnya yang diletakkan dalam tempat penyimpanan barang di bahagian penumpang telah hilang dan dia berpatah balik ke Taman Sejahtera untuk mencari lelaki terbabit.

"Pemandu lori itu menemui lelaki berkenaan di kawasan padang berhampiran rumah kedai dan berlaku pertengkaran antara mereka apabila telefon bimbit yang hilang ditemui bersama mangsa," katanya.


Rusli berkata berlaku pergelutan dan beberapa lelaki yang berada di kawasan itu turut memukul mangsa dan pada masa yang sama seorang individu bertindak merakam kejadian tersebut menerusi telefon bimbit yang kemudiannya memuat naik rakaman itu di laman sosial.

Katanya susulan kejadian itu, polis menahan pemandu lori terbabit di sini bagi membantu siasatan.

"Kami juga sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan dan saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak bertindak di luar batasan sehingga mencederakan orang lain biar pun mengesyaki mereka melakukan jenayah.

"Kita menghargai tindakan orang awam (yang mahu menangkap penjenayah), tetapi jangan bertindak sewenang-wenangnya sehingga melampaui undang-undang. Sepatutnya jika berlaku sebarang kejadian jenayah tangkap dan serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. - BERNAMA
Post a Comment

Rumah Rehat Muslim

Rumah Rehat Muslim

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung