PENGASAS 
D'Herbs Healthy Sdn Bhd (D'Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman akui sedang dalam dilema untuk memutuskan pasukan bola sepak negeri mana yang bakal ditajanya.

Namun menurutnya, beliau hanya akan memilih negeri yang akan memberi manfaat dan mempunyai kaitan dengannya.
“Sebenarnya bukan Selangor sahaja. Setakat ini saya juga telah berjumpa dengan wakil Pahang dan Kedah sebab orang tawarkan pada saya. Jadi, saya tawarkan jugalah apa yang saya nak.
“Setakat ini saya masih dilema dan masih mencari sebab. Saya orang Selangor, sudah tentu saya nak taja Selangor tapi kadang kala benda yang tidak menguntungkan...bagi saya biar ia menguntungkan kedua-dua belah pihak,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Sebelum ini, tersebar gambar di media sosial tentang pertemuan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan Aliff Syukri yang didakwa ada kaitan dengan penajaan.
Mengulas lanjut, Aliff Syukri berkata, beliau tidak pernah menyatakan syarat kepada Selangor secara verbal, sebaliknya semua syarat dikemukakan di atas kertas.
“Saya tidak pernah memberitahu kepada umum atau wartawan berkenaan dengan syarat-syarat yang saya kenakan. Cuma, pihak bola sepak Selangor dan saya sahaja tahu apa syaratnya. Saya tak pernah menyebarkan cuma spekulasi ini dibuat oleh orang ramai.
“Dalam kenyataan saya sebelum ini pun saya hanya cakap, kami berbincang sahaja. Tiada sebarang kata putus daripada saya. Saya tak nak jika saya tak jadi taja, nanti saya sendiri yang malu,” katanya.
Menyentuh soal tagline ‘terlajak gol’ yang hangat diperkatakan, beliau menjelaskan bahawa perkara itu hanya salah satu tuntutan pihaknya.
“Jadi, sekiranya permintaan saya itu tidak dapat ditunaikan, mungkin saya pergi ke negeri lain. Sebab duit itu adalah duit saya. Saya masih hormat dengan peraturan-peraturan mereka (Selangor) sebab bola sepak ini ada undang-undang. Tapi macam yang saya cakap, kita hanya bincang.
“Jadi, mereka berhak untuk terima (syarat) saya ataupun tidak tapi syarat yang saya tetapkan bukanlah seperti yang dihebohkan. Cuma, biarlah rahsia. Saya tak pernah keluarkan kenyataan apa-apa tentang syarat yang saya kenakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan hanya akan mendedahkan semua perincian kepada umum sekiranya perjanjian telah termetrai
.