KUALA LUMPUR - Seramai 12 pelajar sekolah menengah ditahan polis bagi membantu siasatan kes pukul melibatkan dua pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Kuala Lumpur dalam kejadian di kawasan perumahan Jalan Wangsa Melawati 4, Wangsa Melawati di sini, kelmarin.
Kejadian jam 1.45 petang itu, menyebabkan kedua-dua pelajar berkenaan masing-masing menerima 10 dan tujuh jahitan.
Difahamkan, mangsa dibelasah lebih 20 pelajar menggunakan besi, cota, kayu besbol, topi keledar dan kayu.
Sebelum kejadian, mangsa yang melalui kawasan tersebut terserempak dengan sekumpulan pelajar bermotosikal yang mengejar sebelum memukul mangsa.
Menurut sumber, kejadian dipercayai bermotifkan perebutan teman wanita.
“Polis masih memburu beberapa lagi individu dipercayai terlibat insiden tersebut.
“Setakat ini, 12 pelajar berusia lingkungan 14 hingga 17, ditahan bagi membantu siasatan dan kesemua mereka direman sehingga Ahad (esok) ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.