"MACAM dari filem dinasour Jurasic Park!" kata seorang pelayar selepas menonton video viral menunjukkan seekor buaya gergasi 'makan angin' di sebuah padang golf.
Melalui video tersebut, buaya yang dianggarkan berukuran 15 hingga 16 kaki tersebut didakwa sesat dan menceroboh padang golf Buffalo Creek di Florida, Amerika Syarikat.
Kejadian yang berlaku Ahad lepas disaksikan sendiri oleh pemain golf, Charles Helms yang sempat merakam kejadian tersebut.
"Buaya tersebut sudah lama berada di sini (padang golf Buffalo Creek), ini langsung tak mengejutkan," kata seorang pekerja di Buffalo Creek, Wendy Schofield.
Kata Wendy, buaya tersebut tidak mengacau sesiapa dan pemain-pemain golf veteran di padang golf tersebut juga tidak mengacau mereka.
"Buaya tersebut akan popular selepas ini dan padang golf ini juga menarik untuk dikunjungi.
"Anggaplah ia sebagai maskot kami," kata Wendy lagi.
Buaya terbesar pernah ditemui Florida berukuran 14 kaki panjang dan berat 353 kilogram.