AMPANG - Bekas Exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen berharap silaturahim dengan rakan-rakannya dalam Umno akan kekal walaupun selepas beliau umum keluar parti.
Mohd Rafiq berkata, beliau berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin Pemuda Umno di peringkat akar umbi yang banyak menyokong ketika beliau masih bersama Umno.
"Saya percaya ramai di kalangan mereka akan marah dan tak bersetuju dengan langkah saya. Walaupun tak lagi bersama Umno dan berlainan ideologi politik, saya harap silaturrahim kita kekal abadi.
"Saya dan rakan-rakan bukan keluar Islam, bukannya murtad. Kami juga tidak tukar bangsa dan warganegara, jadi janganlah marah sangat kami ini," katanya dalam sidang media bersama 28 bekas pemimpin Umno peringkat cawangan di sini, hari ini.
Sementara itu, menjawab kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa ada bekas ahli Umno yang merayu untuk kembali kepada parti, Mohd Rafiq berkata, perkara itu tidak akan berlaku kepada mereka.
"Jika benar dakwaan Tengku Adnan bahawa ada ribuan ahli Umno yang dipecat merayu untuk diterima semula, saya cabar beliau senaraikan.
"Tapi kami semua hari ini memang tak nak masuk balik Umno," katanya.