KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut ditikam dalam pergaduhan di pusat hiburan di Mount Kiara, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa datang ke pusat hiburan itu bersama tiga rakannya.
Semasa sedang menari dan berhibur, mangsa berusia 22 tahun telah terlanggar bahu seorang lelaki yang berada di meja sebelahnya.
Berang dengan insiden itu, mangsa dan rakannya telah dibelasah oleh kira-kira 20 lelaki di lokasi kejadian.
Menurut sumber, akibat daripada pergaduhan itu, mangsa telah ditikam di bahagian dada.
”Mangsa yang berlumuran darah kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 9.30 malam, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di dada kanan,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, setakat ini seramai empat individu berusia lingkungan 21 hingga 22 tahun telah ditahan sejak semalam bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.