RAKAMAN video yang tular di laman sosial Facebook baru-baru ini memaparkan Perodua Myvi yang menghalang laluan sebuah ambulans di Lebuhraya Persekutuan dipandang serius pihak berkuasa.
Menerusi rakaman berdurasi 2 minit 5 saat itu, pemandu Myvi itu dilihat berdegil menggunakan lorong kecemasan walaupun siren ambulans telah dipasang.
Kejadian itu juga turut menunjukkan pemandu Myvi tersebut tidak memberi isyarat ketika ingin menukar lorong.
Insiden itu hampir menyebabkan berlakunya perlanggaran di antara Myvi tersebut dengan ambulans.
Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat yang mengulas tentang insiden itu berkata, siasatan sedang dijalankan pihaknya.
“Diminta pemandu kereta terbabit tampil secara sukarela bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat memberitahu, sehingga kini tiada laporan polis dibuat dari mana-mana pihak berkaitan insiden itu.