SHAH ALAM – Perlawanan paintball yang berlangsung di Seksyen U9, dekat sini, terpaksa dihentikan selepas sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) datang ke lokasi terbabit dalam perlawanan yang berlangsung bermula jam 9 pagi tadi.
Difahamkan, acara ini turut membabitkan empat agensi media tempatan.
Polis telah merampas peralatan permainan terbabit seperti peluru dan marker paintball.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komsioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit.
“Penganjur didapati tidak mempunyai lesen selain tidak mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa bagi penganjuran berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Dijangka, sidang media berhubung kes berkenaan akan dibuat pada Isnin ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Pada April 2014, lebih 450 peserta pusingan kedua liga paintball kebangsaan yang sepatutnya berlangsung di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini, pulang hampa selepas kejohanan itu dibatalkan kerana difahamkan tidak mendapat kelulusan polis kerana menyalahi Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.