TAPAH - Seorang remaja lelaki cedera selepas tapak kakinya tertusuk besi dalam kejadian yang berlaku di Sungai Batang Padang, Batu 10 Jalan Pahang, di sini, petang tadi.
Mangsa, Azman Sharul, 15, dipercayai dalam perjalanan untuk memancing di sungai berkenaan sebelum terlibat dalam insiden itu.
Dia terpaksa menahan kesakitan sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah membantu memotong besi yang tercucuk sedalam dua sentimeter di tapak kaki kirinya itu.
Ketua Operasi BBP Tapah, Abd Rahman Ibrahim berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan sebelum pihak hospital menghubungi bomba untuk bantuan.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.08 petang daripada hospital untuk meminta bantuan berhubung kejadian itu.
"Kita bertindak membantu dengan memotong lebihan besi sepanjang satu meter itu bagi memudahkan pihak hospital melakukan X-Ray terhadap mangsa.
"Besi itu dipotong menggunakan pemotong (cutter) dan operasi tamat pada jam 4.10 petang," ujarnya.