IPOH – "Belajarlah agama...," itu reaksi Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria terhadap peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim yang mengeluarkan kenyataan berkaitan kewujudan Tuhan yang jelas memesongkan akidah.
Menurutnya, kenyataannya menyifatkan Tuhan sama dengan makhluk lain boleh jatuh kafir dan murtad dalam Islam.
“Belajar sikit tapi tidak belajar agama sudah terasa terlalu pandai. Kalau seorang peguam, cakap sahaja mengenai undang-undang, tidak perlu cakap mengenai Tauhid.
“Tidak usah campur urusan agama tetapi belajarlah agama kerana kita beruntung dilahirkan dalam Islam. Pelajarilah Islam yang dibawa oleh ibu bapa kita,” katanya ketika mengulas mengenai kenyataan Siti Kasim di Pejabat Mufti Perak di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Jakim akan ambil keterangan Siti Kasim]
Media semalam melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil peguam Siti Kasim untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya berkaitan kewujudan Tuhan yang dianggap terpesong daripada akidah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dipetik sebagai berkata, sekiranya terdapat kesalahan maka Jabatan Agama Islam Negeri boleh mengambil tindakan.
“Jakim tiada kuasa untuk mengambil tindakan hanya Jabatan Agama Islam Negeri sahaja yang ada kuasa mengambil tindakan mengikut apa jua kuasa mengikut enakmen berkaitan jenayah, akidah serta penyebaran perkara yang boleh merosakkan agama Islam,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Siti Kasim dalam rancangan temu bual dalam talian dengan media berbahasa Cina beberapa tahun lalu.