PETALING JAYA: Kejadian ditipu pelanggan tidak sekali-kali membuatkan seorang peniaga makanan dalam talian serik untuk terus mencari rezeki dengan cara itu.
Peniaga berkenaan, Sakila Azis berkata, selepas posting mengenai dirinya ditipu seorang pelanggan bernama Sue tular di media sosial, dia menerima banyak maklum balas daripada orang ramai, termasuk kecaman yang tidak masuk akal.
"Saya yang ditipu pelanggan, tapi bila posting nasi lemak saya viral, orang tuduh saya pula menipu.
"Saya ni berniaga kecil-kecilan saja dari rumah nak cari duit, bukan nak kaya pun, sekadar lepas bayar hutang saja, tak berbaloi menipu dengan 30 bungkus nasi lemak yang harganya RM135 tu," katanya kepada mStar Online.
Posting tersebut telah dimuat naik oleh Sakila pada malam Selasa apabila Sue pada saat akhir enggan mengambil 30 nasi lemak ayam berempah yang dipesannya untuk dimakan pagi Rabu dengan alasan anaknya sakit.
Gambar paparan skrin yang menunjukkan perbualan Sakila dan Sue telah tular dan mendapat hampir 5,000 perkongsian gara-gara netizen geram dengan bahasa kasar yang digunakan serta sikap lepas tangan yang ditunjukkannya.
Bagaimanapun, di sebalik netizen yang bersimpati dengan nasibnya, terdapat juga kumpulan yang mendakwa Sakila menipu, 'makan duit haram' dan mendoakan yang tidak baik terhadap anak-anak dan keluarganya.
"Mereka kata saya cuba raih simpati, ada yang kata itu nasi lemak tak habis sebab saya sertakan gambar, sedangkan saya muat naik gambar lama nasi lemak dalam simpanan untuk beri gambaran kepada pelanggan yang berminat," katanya.
Menurut Sakila sepanjang berniaga dalam talian selama lebih kurang lima tahun, ini adalah kali kedua pelanggan enggan mengambil pesanan pada saat akhir.
"Cuma kejadian pertama tu pelanggannya saya kenal dan bahasanya taklah kesat.
"Biasalah berniaga macam ni memang berisiko ditipu, saya tak serik pun untuk terus berniaga," katanya yang turut menjual makanan lain seperti bubur, tat nenas dan kuih raya.
image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/08/26/kisah-peniaga-nasi-lemak-ayam-berempah/~/media/d1e12093c26842d9a173ff79ee22cada.ashx?la=en
Sakila berkata dia terpaksa menceritakan apa yang berlaku dan membuat tawaran di Facebook selepas mengetahui 30 bungkus nasi lemak itu 'tidak bertuan' kerana dia telah membeli bahan-bahan dan membuat persediaan termasuklah memerap ayam.
"Bukan saya minta viral, saya nak kongsi dengan kawan-kawan setaman saja kalau ada yang berminat, buat apa nak viral kalau saya setakat berniaga dalam taman ni saja.
"Tapi Alhamdulillah sebelum posting itu viral pun dah ada hamba Allah hubungi saya dan minta saya sedekahkan nasi lemak tu ke rumah anak yatim di sini," katanya yang tinggal di Bukit Beruntung, Rawang.
Mengenai sikap Sue, ibu kepada empat anak ini berkata dia tidak berdendam dengan wanita yang tidak dikenalinya itu tetapi kesal dengan bahasa kasar dan cara dirinya lepas tangan dari tanggungjawab.
"Saya tunggu juga kalau dia hubungi saya minta maaf tapi tak ada, tak apalah," katanya.
Sakila berkata kejadian ini juga telah memberikan pengajaran kepadanya supaya jangan terlalu mudah percayakan pelanggan dan dia juga akan mengambil bayaran deposit untuk jumlah pesanan yang banyak.
No comments:
Post a Comment